London: Jumlah tontonan Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan merosot musim ini namun perlawanan Manchester United tetap menjadi pilihan penonton.
The Red Devils melalui musim yang teruk apabila hanya menamatkan saingan di tangga ke-15 EPL.
Musim yang suram itu ditutup dengan kekalahan memalukan 0-1 kepada Tottenham dalam final Liga Europa.
Secara keseluruhan, saingan EPL musim ini agak berbeza apabila Liverpool menamatkan perebutan kejuaraan lebih awal, manakala tiga pasukan yang dinaikkan musim lalu disahkan turun semula ke divisyen bawahan beberapa minggu sebelum musim tamat.
Meskipun perebutan tempat ke saingan Eropah mengekalkan sedikit minat penyokong, jumlah tontonan Sky Sports dilaporkan menurun sebanyak 10 peratus, manakala TNT Sports mencatatkan penurunan lebih besar iaitu 17 peratus, selepas dua musim yang mencatatkan rekod tertinggi.
Namun, Manchester United mengejutkan ramai apabila kekal menjadi pasukan paling banyak ditonton, meskipun melalui musim paling buruk sejak penyingkiran terakhir mereka pada tahun 1974.
United masih dianggap sebagai kelab terbesar di England, dengan tinjauan Statista meletakkan mereka mengatasi Arsenal dan Liverpool dari segi jumlah peminat.
Bagaimanapun, menurut sumber dalam industri penyiaran, terdapat satu lagi sebab di sebalik status itu: Ramai peminat sebenarnya menonton United untuk ‘menikmati’ penderitaan mereka.
Laporan The Times mendedahkan bahawa ramai peminat menyaksikan perlawanan United bukan kerana sokongan, tetapi untuk melihat mereka kalah.
Dan mereka memang diberikan banyak ‘hiburan’ sepanjang musim ini.
Skuad kendalian Erik ten Hag itu tewas 18 kali dalam saingan EPL sahaja, angka yang mengejutkan bagi kelab berstatus gergasi.
Musim depan, Ruben Amorim dijangka bakal menyaksikan perubahan, dan beliau pastinya berharap agar penonton hanya menyaksikan perlawanan United kerana mereka menang bukan sebaliknya.
Dengan sembilan kelab EPL layak ke saingan Eropah musim depan, dijangka lebih banyak perlawanan akan dijadualkan pada hari Ahad semuanya bakal disiarkan secara langsung.
Tambahan pula, promosi Leeds United yang memiliki sokongan besar, serta kemunculan semula Sunderland yang sekian lama dinantikan, dijangka turut menyumbang kepada peningkatan tontonan musim akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
