Pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol memberiakn respons berkenaan pendidikan seks yang perlu diperkenalkan kepada pelajar sejak dari peringkat awal persekolahan lagi.
Memetik laporan Kompas.com, Jefri yakin bahawa usaha ini penting demi menjadikan masyarakat peka terhadap penularan seks bebas dan penyebaran penyakit kelamin di kalangan masyarakat Indonesia.
“Bagi saya, pendidikan seks seharusnya dimulakan sejak usia muda kerana kanak-kanak kini sudah lebih faham tentang seks.
“Bahkan ada yang berani mencuba tanpa menyedari bahayanya. Kebanyakan mereka juga terpengaruh dengan rakan sebaya dan apa yang mereka lihat,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Surat Cinta Untuk Starla The Movie ini juga menegaskan, pendidikan seks tidak seharusnya dianggap sebagai satu perkara baru dalam masyarakat.
Ini kerana, pengenalan kepada alat pencegahan kehamilan amat penting untuk mencegah penyebaran penyakit kelamin.
“Pendidikan seks adalah sangat penting sejak kecil. Alat pencegahan kehamilan juga perlu dikenalkan supaya mereka faham.
“Walaupun seks adalah perkara peribadi, ia tetap akan berlaku, jadi pendedahan yang sewajarnya harus diberikan.
“Jangan takut atau malu untuk membeli alat pencegahan kehamilan kerana ini melibatkan kesihatan diri sendiri,” jelasnya.
Perkara itu dikongsi Jefri ketika hadir pada satu acara yang berlangsung di Senayan, Jakarta pada 18 sehingga 23 Februari lalu.
Sumber: Kompas.com




