Pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona meluahkan rasa tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang menganggap wanita berpendidikan tinggi ‘rugi’ jika hanya menjadi suri rumah.
Dalam satu perkongsian di Instagram Story (IGs), Leona menyifatkan pandangan itu sebagai sesuatu yang sangat cetek dan tidak wajar.
Anak kepada pelakon terkenal, Azhar Sulaiman itu menegaskan menjadi suri rumah adalah satu tugas yang amat mulia, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendidikan tinggi untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan didikan sempurna.
Leona turut menambah, memilih untuk menjadi suri rumah walaupun memiliki kelayakan akademik yang tinggi merupakan satu bentuk pengorbanan yang amat besar dan patut dihormati.
“Saya rasa pandangan seperti itu sangat cetek dan boleh dianggap menghina. Mempunyai kerjaya hebat bukanlah satu-satunya jalan. Pendidikan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai cara, sama ada secara langsung ataupun tidak.
“Membuat keputusan untuk membesarkan anak-anak sendiri adalah satu tindakan mulia dan satu pengorbanan besar,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Leona berpendapat anak-anak yang dibesarkan secara langsung oleh ibu mereka sendiri berpeluang menerima asas kehidupan yang jauh lebih kukuh.
“Seorang anak sangat bertuah jika mendapat didikan awal di rumah daripada ibunya. Ia bukan sekadar menjadi suri rumah, tetapi lebih kepada memikul tanggungjawab besar untuk membina sebuah keluarga yang harmoni demi masa depan anak-anak,” tambahnya.
Dalam muat naik sama, Leona turut meluahkan rasa syukur kerana dibesarkan oleh seorang ibu yang sentiasa ada bersamanya dalam setiap perjalanan hidup.




