Kuala Lumpur: Usanita Sdn Bhd menerusi cabang perniagaannya, Usanita Entertainment terus melakar langkah berani dalam industri hiburan digital apabila memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bakal menemui penonton tempatan dan serantau.
Dengan tagline Stream For You, UTV bakal menawarkan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh emosi, selari dengan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata idea penubuhan platform ini tercetus kerana pihaknya melihat ruang yang sangat besar dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang berani, asli dan menyentuh hati.
“Kami percaya Malaysia kaya dengan bakat dan kisah yang mampu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada penonton tempatan malah di peringkat serantau.
“Platform ini berpeluang mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia terutama golongan wanita agar mereka mendapat tempat sewajarnya dalam industri hiburan digital,” katanya.
Menurutnya lagi, menerusi platform itu juga pelbagai kandungan premium bakal ditayangkan termasuk drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan citarasa generasi digital hari ini.
Katanya, lebih istimewa, Usanita Entertainment juga melantik pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima sebagai Channel Advisor bagi memastikan kualiti setiap produksi UTV menepati standard terbaik dan berdaya saing.
Selain pengumuman mengenai UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan istimewa eksklusif di bawah kerjasama Usanita Entertainment x Mask Team yang bakal berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Persembahan pertama bertajuk An Evening With Nadeera Zaini akan diadakan pada Jumaat ini manakala persembahan kedua, Hael Husaini Antonim Night keesokan harinya.
“Persembahan eksklusif ini bukan sahaja menjadi platform buat artis menampilkan karya mereka dalam suasana lebih intim, malah ia juga sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong industri hiburan tempatan.
“Kami percaya, Nadeera dan Hael akan memberikan pengalaman persembahan yang memukau dan penuh jiwa, sejajar dengan nilai yang kami pegang di Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan yang berkualiti tinggi,” kata Adzliana pada Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air antaranya Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




