Penduduk di 3 negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang

Penduduk di 3 negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang

Segamat: Penduduk di beberapa daerah dan kawasan di Johor, Sabah serta Pahang diingatkan supaya bersedia menghadapi risiko banjir dan air pasang besar susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daerah Muar dan Tangkak, Johor adalah antara lokasi seterusnya diramal terkesan banjir dalam masa terdekat mengambil kira hujan yang masih berterusan.

Beliau berkata di Sabah pula, kawasan di utara dan pantai timur negeri itu juga dikenal pasti akan dilanda air pasang besar selain banjir membabitkan Pitas dan Kota Marudu.

“Luruan pertama dan kedua MTL telah berlaku Disember tahun lepas. Walaupun belum ada laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena hujan lebat berterusan bermula semalam dan diramal berterusan hingga 30 Januari ini boleh dikategorikan sebagai luruan ketiga.

“Justeru, semua agensi sudah mengambil usaha dan pendekatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan kampung yang perlu untuk kita pindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini fokus pihaknya adalah untuk menyelaraskan semua agensi yang tertakluk dalam arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana dan penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai terutama mangsa yang ditempatkan di PPS.

“Seterusnya selepas berpindah, fokus kita adalah memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa menerusi penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang membabitkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing.

Sementara itu, tinjauan Bernama di PPS terdapat pertambahan mangsa dari semasa ke semasa dengan kebanyakan mereka datang sendiri ke PPS setelah mengambil kira kemungkinan risiko banjir yang lebih teruk ekoran hujan yang masih belum reda.

#kw Armizan Mohd Ali, banjir, air pasang besar, PPS, Johor, segamat

© New Straits Times Press (M) Bhd