Baitulmaqdis: Gaza kini semakin kehabisan bekalan bahan api yang terhad dan stok barangan makanan asas mungkin akan menjadi kritikal, selepas Israel menyekat kemasukan bahan api dan barangan ke wilayah itu kerana pertempuran dengan Iran.
Tentera Israel menutup semua pintu sempadan Gaza pada 28 Februari lalu selepas mengumumkan serangan udara ke atas Iran yang dijalankan bersama Amerika Syarikat (AS).
Pihak berkuasa Israel berkata lewat malam semalam, mereka akan membuka semula pintu sempadan Kerem Shalom dari Israel ke Gaza pada hari ini untuk ‘kemasukan bantuan kemanusiaan secara berperingkat’ tanpa menyatakan jumlahnya.
Pihak berkuasa Israel sebelum ini berkata, pintu sempadan tidak boleh beroperasi dengan selamat semasa perang.
Menurut pegawai tempatan, Gaza sepenuhnya bergantung kepada bahan api yang dibawa oleh lori dari Israel dan Mesir, dan kekurangan bekalan baharu boleh menjejaskan operasi hospital serta perkhidmatan air dan sanitasi.
Kebanyakan rakyat Palestin di Gaza adalah pelarian dalaman selepas perang dua tahun rejim Israel dengan pejuang Hamas.
“Saya jangkakan mungkin kita ada beberapa hari sahaja baki penggunaan,” kata pengarah Baitulmaqdis bagi Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Perkhidmatan Projek (UNOPS), yang mengurus pengagihan bahan api di Gaza, Karuna Herrmann.
Dalam pada itu, pemimpin bantuan Palestin di Gaza yang bekerja dengan PBB dan badan bukan kerajaan (NGO), Amjad Al-Shawa menganggarkan, bekalan bahan api boleh bertahan tiga atau empat hari, manakala stok sayur-sayuran, tepung serta barangan keperluan lain juga mungkin akan habis jika pintu sempadan terus ditutup.
Agensi kerajaan Israel berkaitan hal ehwal Palestin (COGAT) berkata, stok makanan yang mencukupi sudah dihantar ke wilayah itu sejak permulaan gencatan senjata Oktober untuk membekalkan penduduk.
“Stok sedia ada dijangka mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya, tanpa memperincikan lagi dan enggan mengulas tentang kemungkinan kekurangan bahan api.
Difahamkan, gencatan senjata itu sebahagian daripada pelan yang disokong AS untuk menamatkan perang, termasuk pembukaan semula pintu sempadan Rafah dengan Mesir, meningkatkan aliran bantuan dan membangunkan semula kawasan itu.
Seorang pelarian Palestin di Gaza, Hamada Abu Laila berkata, penutupan itu menimbulkan ketakutan tentang kebangkitan kebuluran, yang melanda sebahagian wilayah itu tahun lalu selepas Israel menyekat penghantaran bantuan selama 11 minggu.
“Kenapa ini salah kami, di Gaza, dengan perang serantau antara Israel, Iran, dan AS? Ini bukan salah kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




