Konflik di Timur Tengah jejas eksport beras basmati India

Konflik di Timur Tengah jejas eksport beras basmati India

New Delhi: Pengeksport India kini menghadapi kesukaran mendapatkan kapal untuk menghantar beras basmati ke Timur Tengah selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran mengganggu penghantaran, menyebabkan kargo tersekat atau tertunda, lapor The Straits Times.

Presiden Persatuan Pengeksport Beras India, Satish Goel berkata, kira-kira 181,400 hingga 226,800 tan beras wangi tersekat di pelabuhan di seluruh India akibat risiko penghantaran yang meningkat.

Kargo yang sudah dalam perjalanan dan stok di gudang pelabuhan juga terjejas, manakala proses untuk mendapatkan kapal semakin sukar.

“Kerajaan sepatutnya mengecualikan sewa tanah di pelabuhan dan membantu kami memulihkan sebarang kos faedah yang ditanggung akibat kelewatan,” katanya.

India adalah pengeksport beras basmati terbesar dunia dengan Timur Tengah sebagai pasaran utamanya, membabitkan perdagangan bernilai berbilion dolar setiap tahun.

Gangguan laluan penghantaran dijangka menaikkan kos pengangkutan dan insurans, menekan margin pengeksport serta meningkatkan harga makanan di negara pengimport utama.

Difahamkan, negara Asia Selatan itu mengeksport 4.26 juta tan beras basmati bernilai kira-kira AS$4 bilion (kira-kira RM15.7 bilion) dalam tempoh sembilan bulan yang berakhir Disember, menurut data kerajaan.

Dalam pada itu, Gupta berkata, gangguan ini tidak terhad kepada beras basmati sahaja, tetapi akan turut membabitkan komoditi pertanian lain.

Beliau menambah, apabila keadaan stabil, kemungkinan berlaku gelombang pembelian panik di pasaran.

Sementara itu, timbalan ketua negara Olam Agri India Pvt, Nitin Gupta berkata, syarikat penghantaran mengenakan surcaj sekitar AS$2,000 (kira-kira RM7,852) setiap kontena berikutan gangguan perdagangan jangka pendek.

Katanya, semua penghantaran akan terjejas dan kadar tambang dijangka meningkat, manakala kargo yang ditujukan ke Timur Tengah kemungkinan tidak dapat dilepaskan dengan segera.

Premium insurans juga dijangka meningkat, sekali gus menambah kos logistik keseluruhan.

Kenaikan kos ini dijangka akan diteruskan kepada pengguna melalui harga lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top