Penduduk nikmati hasil tuaian Kebun Komuniti PPRS

KUANTAN –  Hasil nanas sudah boleh dituai sejak ditanam Disember tahun lalu memberi pulangan kepada penduduk yang bersama-sama mengusahakan Kebun Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 beserta 2,000 anak pokok nanas bagi tanah seluas dua ekar kepada penduduk.

Beliau berkata, tanaman nanas jenis MD2 melibatkan penyertaan empat peserta dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Pahang dilihat sudah berbuah sekali gus boleh menjana pendapatan.

Selain itu, hampir 100 penduduk terlibat dalam Projek Kebun Komuniti PPRS turut menikmati hasil tanaman sayur-sayuran seperti kangkung, bayam hijau, bayam merah, kalian, aneka jenis sawi, serai, kacang bendi, lada, halia, terung dan lengkuas.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati  di sekeliling bangunan flat Pinggiran Putra di sini dipenuhi tanaman sayur-sayuran dan tanaman herba yang dijaga rapi oleh penghuni di situ.

“Kita harap usaha ini dapat meningkatan pendapatan aktiviti ini merapatkan hubungan mereka juga mungkin ada rasa kesamaan dan sense of belonging.

“Di sini ada ancaman vandalisme, jadi penting ada semangat kebersamaan tinggi dan menjaga perpaduan dalam kalangan penduduk penting.

“Penyertaan semakin baik, sensiviti mereka dapat tingkatkan kebersihan hubungan dengan MBK pun rapat untuk dibina setiap individu dan peserta

“Penduduk flat yang memerlukan boleh bebas mengambil sayur di sebuah laman tanaman yang diberi nama Dapur Komuniti.” kata Hamdan ketika ditemui media selepas Program Prihatin MBK bersama komuniti PPRS Pinggiran Putra, Kuantan juga merancang projek penanaman tebu bagi fasa kedua.

Sehingga kini sudah 450 tan sayur-sayuran telah sedia dituai bagi keperluan sendiri dan dijual kepada penduduk flat.

Kebun Komuniti turut menghasilkan pelbagai jenis tanaman herba seperti pokok mahkota dewa, tongkat ali, limau purut, limau nipis, belimbing buluh, pegaga di laman herbanya. – MalaysiaGazette