Penduduk sudah buat aduan sejak 2019

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa didakwa tidak mengambil tindakan berhubung aduan selekoh tajam dekat Jalan Saujana Impian, di Kajang sejak 2019, yang dikatakan menjadi lokasi panas kemalangan jalan raya termasuk insiden sepasang suami isteri maut akibat nahas dua kenderaan, semalam.

Penduduk di Impian Gemilang Saujana Impian, Zulkifli Mohd Yusoff, berkata orang awam sudah membuat pelbagai laporan dan aduan berkaitan keadaan jajaran merbahaya laluan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) namun hingga kini tiada tindakan susulan menyeluruh.

“Penduduk buat aduan sejak 2019 kerana risau selekoh tajam terbabit sering mengakibatkan kemalangan. Papan tanda amaran pun kurang di kawasan itu.

“Dalam dua tahun ini, sebanyak 20 kemalangan dilaporkan di jalan berkenaan. Yang terbaru pagi tadi ada kemalangan kecil dan malam tadi nahas sehingga menyebabkan kenderaan terbalik.

“Petang semalam pula ada kemalangan maut membabitkan suami isteri. Kejadian ini semua berlaku di jalan sama,” katanya pada BH, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan van di Jalan Saujana Impian, Kajang.

Pasangan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan van dari arah bertentangan yang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka. Sementara itu, dua anak mereka, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra’if Adam Lutfan Remyzan, 7, cedera di kepala dan sedang dirawat di Hospital Kajang.

Zulkifli berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya menuding jari berkaitan perkara itu, sebaliknya bekerjasama bagi memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan secara menyeluruh dan secepat mungkin.

“Bila kita buat aduan kepada MPKj, mereka minta penduduk rujuk dengan JKR.

“Ada yang dakwa jalan itu tidak dimiliki sepenuhnya oleh JKR. Konsesi lebuhraya juga dikatakan mempunyai tanggungjawabnya dalam isu jalan ini.

“Kami tidak kisah siapa yang perlu bertanggungjawab, yang penting perkara ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top