Penemuan disyaki rangka manusia: Kerajaan Melaka jamin bekalan air selamat

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka memberikan jaminan keselamatan sumber air dan bekalan air terawat kepada pengguna sentiasa menjadi keutamaan susulan penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh berkata, berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna adalah dalam keadaan selamat.

“Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai, khususnya kerana kawasan penemuan tersebut merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri Melaka.

“Air yang disalurkan kepada pengguna merupakan air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan, manakala kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Salhah berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan berkenaan, termasuk melaksanakan pensampelan serta ujian yang diperlukan.

“Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan polis serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berkaitan penemuan tersebut diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab empangan tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.

“Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Salhah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.

“Kerajaan negeri memberikan jaminan keselamatan sumber air dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan pendekatan berjaga-jaga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan bekalan air sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top