mohamadridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: Syarikat pengurusan acara mendakwa pernah membuka peluang kepada artis-artis veteran menjalankan perniagaan dalam acara dianjurkan bagi membantu golongan itu mencari sumber pendapatan.
Bagaimanapun, mereka berasa kecewa apabila peluang itu tidak dimanfaatkan sebaiknya dan berlaku pula cerita lain yang mengecewakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Havoc Event & Management Sdn Bhd Datuk Muhammad Firdaus Nadxaman berkata, daripada membiarkan booth kosong, pihaknya akan menyerahkannya kepada artis veteran untuk diusahakan.
“Daripada booth kosong, kami bagi satu, dua, tiga (booth). Tetapi apa yang berlaku, artis-artis veteran ini menjual kepada orang lain untuk mendapat ‘income’ mudah.
“Ini benda yang berlaku. Kami tidak pernah bercerita hal ini, cuma kami ambil keputusan, okay cukuplah. Kita pernah beri peluang, tapi ada yang kata nak datang (berniaga), tiba-tiba tak datang dan jual pula booth untuk orang lain.
“Justeru, adalah lebih baik kita beri peluang kepada artis-artis yang memang nak meniaga terutama mereka yang ada produk,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Havoc Event & Management selaku penganjur Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026, Faizul Mohd Yusof.
Program berkenaan dirasmikan Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, semalam.
Muhammad Firdaus Nadxaman berkata, berikutan itu mereka kini lebih mengutamakan artis dan pempengaruh yang memiliki usaha dan kesungguhan untuk berniaga.
“Setakat dari 2019 sehingga 2025 ini, kita lebih rapat dengan mereka dengan membantu daripada zero (kosong), tak pandai berniaga sehingga boleh menjadi seorang usahawan.
“Sebenarnya kita ada peruntukan (booth) di setiap acara, jika kita ada 160 booth, kita perlu bagi 30 booth untuk artis dan influencer, manakala selebihnya kita perlu jual untuk pendapatan,” katanya.
Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 akan diadakan di Hall 1 & 2 Setia City Convention Centre, Setia Alam selama lima hari bermula 12 Mac depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




