am@hmetro.com.my
Seremban: Pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas pertuduhan mencabul murid perempuan, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Kamaruzaman Hassan, 59, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan memegang dan mengusap tangan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6.40 pagi di sekolah berkenaan pada 11 November lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain turut memaklumkan mangsa adalah murid tempat tertuduh bekerja.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana diberhentikan kerja pada hari kejadian manakala isteri tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport.
Sebutan semula kes pada 23 Disember hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




