Pengecualian duti hiburan rancakkan industri kreatif, KARYAWAN puji inisiatif Belanjawan 2027

Pengecualian duti hiburan rancakkan industri kreatif, KARYAWAN puji inisiatif Belanjawan 2027

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk mengecualikan duti hiburan ke atas tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, langkah berkenaan bakal membawa anjakan paradigma serta merancakkan semula pertumbuhan industri kreatif tanah air.

“Saya rasa ini sesuatu perkara yang amat baik bagi industri seni kita. Jadi apabila dikecualikan, ia akan menambahkan pendapatan kepada semua pihak dalam industri seni.

“Selain itu, ia akan merancakkan industri dalam masa yang akan datang dan kita dapat melihat pertumbuhan industri yang cukup memberangsangkan di masa depan,” katanya mengulas mengenai Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Freddie turut yakin langkah itu akan membuka ruang kepada pelbagai usaha baharu, perniagaan serta pelaburan strategik yang menjanjikan pulangan yang baik kepada seluruh penggiat dalam industri kreatif dan hiburan.

“Satu langkah yang cukup bijak yang dilakukan oleh kerajaan dan kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas langkah ini yang sudah pasti akan membawa anjakan paradigma kepada industri seni kita.

“Selepas ini kita akan melihat pelbagai usaha dan perniagaan dan pelaburan dalam industri ini yang akan memberikan pulangan yang cukup baik kepada semua usahawan dalam industri,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Freddie turut berharap agar lebih banyak aktiviti seni diadakan dengan peruntukan lebih RM130 juta ringgit bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

“Dengan peruntukan RM130 juta itu, saya harap lebih banyak aktiviti dalam industri filem, muzik dan konsert dan sebagainya termasuk penerbitan lagu serta album.

“Saya juga berharap agar masa depan yang lebih cerah untuk artis dan karyawan kita menjalankan aktiviti dengan bantuan daripada dana yang disediakan kerajaan. Satu lagi usaha yang cukup baik,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar turut memaklumkan mengenai pemberian pengecualian duti hiburan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan serta sukan yang diadakan di Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Peruntukan lebih RM130 juta itu termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya dan kenegaraan.

Bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan bersetuju untuk terus memperkukuhkan ekosistem animasi tempatan untuk 20 harta intelek baru serta mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top