PM petik kata pujangga Tamil, China

PM petik kata pujangga Tamil, China

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian dengan memetik kata pujangga agung Tamil dan pendeta agung China ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pendidikan untuk semua, Perdana Menteri mengungkap rangkap ke-731 dalam karya terkenal Thiruvalluvar, Tirukkural iaitu “Thallaa Vilaiyulum Thakkaarum Thaazhvilaach Chelvarum Servadhu Naadu.”

Rangkap berkenaan yang dibacakan beliau dalam bahasa Tamil membawa maksud, negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi keilmuan dan budi rakyatnya serta makmur kekayaannya tanpa mengesampingkan akhlak.

“Ternyata, sejak zaman silam, Thiruvalluvar mengingatkan bahawa hebatnya sesebuah negara itu tidak sekadar bersandar pada limpahan khazanah dan mercu tanda tetapi turut ditunjangi kebijaksanaan, keadilan dan kemuliaan insan,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha kerajaan melaksanakan reformasi tanpa rasa gentar, Perdana Menteri mengungkap satu kiasan yang disifatkan sarat hikmah dalam syair Shangtang Kaishi Song karya seorang pendeta agung pada era Dinasti Tang (618-907 Masihi).

Beliau mengungkap “Bù jīng yī fān hán chè gǔ, zěn dé méi huā pū bí xiāng” yang bermaksud tidak akan terbit keharuman bunga plum tanpa terlebih dahulu mengharungi dingin yang menggigit hingga ke tulang.

“Kiasan ini mengungkap suatu hakikat mengenai kehidupan dan perjuangan manusia, bahawa sesuatu pencapaian yang besar tidak lahir dari kesenangan yang berpanjangan, malah ia menuntut ketekunan, kesabaran dan kesanggupan menempuh getir.

“Justeru, belanjawan tidak hanya menghitung lembaran hasil dan membahagi peruntukan. Ia menguji amanah kita, apakah kuasa dibatasi, undang-undang ditegakkan dan wang rakyat diurus dengan jujur?

“Ekonomi tidak mungkin teguh di atas institusi yang rapuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top