Pengembara dari 26 negara perlu kuarantin sebelum sertai Gelembung Pelancongan Langkawi – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Pengembara dari 26 negara atau yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan ini susulan penemuan Covid-19 varian Omicron (B.1.1.259), maka pemantauan dan penilaian risiko dibuat bagi menentukan negara-negara berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian membimbangkan (VOC) baharu ini.

Katanya, bagi penduduk Langkawi melibatkan warga tempatan dan pemegang pas lawatan panjang dari 26 negara yang disenaraikan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari, mereka perlu melalui pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.

“Mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Langkawi manakala penerbangan terus ke Langkawi tidak dibenarkan.

“Senarai 26 negara itu adalah United Kingdom, Belgium, Portugal, Jepun, Belanda, Brazil, Australia, Norway, Kanada, Republik Czech, Korea Selatan, Perancis/Reunion Island, Hong Kong, Austria, Israel, Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Jerman, Ghana, Denmark, Republik Ireland, Sweden, UAE, Nigeria dan Amerika Syarikat (California),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pihak kementerian juga sentiasa menjalankan penilaian risiko berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan bagi menentukan tahap risiko sesebuah negara itu sebelum dibenarkan menyertai GPL.

Katanya, antara kriteria yang diambil kira adalah insiden Covid-19 dan liputan imunisasi di negara tersebut maka terdapat 24 negara yang berisiko tinggi tetapi tidak melaporkan kes VOC Omicron.

“Pengembara dari 24 negara yang disenaraikan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara itu dalam tempoh 14 hari, tidak dibenarkan menyertai GPL dan senarai itu akan berubah mengikut situasi semasa.

“Bagi 24 negara itu adalah Russia, Georgia, Poland, Ukraine, Romania, Slovakia, North Macedonia, Guernsey, Croatia, French Guiana, Filipina, Libya, Jordan, Bangladesh, Angola, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Zambia dan Zimbabwe,” katanya.

Jumaat lalu, kerajaan memutuskan pengembara Malaysia yang merancang melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, adalah tidak dibenarkan, bermula keesokannya susulan penemuan varian baharu Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, selain itu, sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke semua negara terbabit turut dilaksanakan.