hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) selepas dipercayai terbabit dengan pengubahan wang haram.
Individu berkenaan disyaki menerima, memindah dan menggunakan hasil rasuah melalui akaun peribadi dan syarikat miliknya, saudara serta sekutunya.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga 28 Jun ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar jam 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2015 hingga 2025 dan sebelum ini suspek pernah ditahan reman bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan kes salah guna kuasa dengan penyelewengan dana milik NGO di tempat suspek bekerja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
© New Straits Times Press (M) Bhd