Anggota polis kerap cuti bongkar aktiviti jualan sijil MC palsu

Anggota polis kerap cuti bongkar aktiviti jualan sijil MC palsu

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Tiga lelaki termasuk pesakit jantung ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menghasilkan dan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu susulan siasatan dalaman dijalankan ke atas anggota polis yang kerap mengambil cuti.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kegiatan itu terbongkar susulan maklumat diterima hasil semakan ke atas sijil cuti sakit ( pegawai perubatan kerajaan) mencurigakan yang dikemukakan anggota berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah premis di Taman Songket Indah di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, 26 Jun lalu.

“Seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan. Turut dirampas kira-kira 20 keping sijil cuti sakit palsu, tablet, komputer riba, mesin pencetak, cop nama doktor serta kertas A4 yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu itu menjual sijil berkenaan dengan harga RM25 hingga RM30 bagi satu hari cuti tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan.

Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dan menggunakan nama doktor yang pernah merawatnya dengan butiran jawatan yang direka sendiri.

“Setiap kali suspek mendapatkan rawatan di hospital, dia akan mengingati nama doktor itu untuk digunakan pada cop nama. Kebanyakan nama menggunakan doktor sebenar namun jawatannya tidak tepat.

“Sasaran ialah penjawat awam dan anggota polis yang dikesan mengemukakan sijil cuti sakit palsu ini dipercayai bertemu dengan suspek di kedai makan berdekatan dengan hospital,” katanya.

Hanyan berkata susulan tangkapan pertama, dua lagi lelaki berusia 30-an ditahan kerana dipercayai menjadi orang tengah yang membantu mendapatkan pelanggan yang mahu membeli sijil cuti sakit tanpa rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu kerana menipu dan memalsukan dokumen.

Menurut Hanyan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top