Susun semula situasi kewangan supaya mampu tahan

Susun semula situasi kewangan supaya mampu tahan

saufi@mediaprima.com.my

SELEPAS sambutan Aidilfitri, ramai individu berdepan realiti kewangan yang sedikit ‘ketat’ susulan perbelanjaan tinggi sepanjang musim perayaan.

Perbelanjaan untuk pulang ke kampung, membeli pakaian baharu, menyediakan juadah serta memberi duit raya sering menyebabkan aliran tunai terganggu jika tidak dirancang dengan teliti.

Justeru, tempoh selepas raya menjadi fasa penting untuk menyusun semula kedudukan kewangan secara lebih strategik dan berdisiplin.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pengurusan kewangan peribadi yang baik bermula dengan pemantauan aliran tunai.

Pakar Ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah pertama yang disarankan ialah menilai semula perbelanjaan sepanjang bulan perayaan.

“Ini termasuk mengenal pasti perbelanjaan tidak perlu atau berlebihan yang boleh dielakkan pada masa hadapan.

“Apabila memahami ke mana wang dibelanjakan, individu dapat merangka bajet lebih realistik untuk bulan-bulan seterusnya.

“Pada masa sama, keutamaan perlu diberikan kepada pembayaran komitmen tetap seperti sewa rumah, ansuran kenderaan dan bil utiliti,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan melunaskan komitmen ini boleh menjejaskan skor kredit, sekali gus menyukarkan urusan kewangan pada masa depan.

Sementara itu, agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut menekankan kepentingan membayar hutang mengikut jadual serta mengelakkan penggunaan kad kredit secara berlebihan selepas musim perayaan.

Selain itu, tempoh selepas raya juga sesuai untuk membina semula dana kecemasan.

Barjoyai menyarankan simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan asas sebagai perlindungan sekiranya berlaku situasi tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.

“Walaupun sukar untuk mengumpul jumlah berkenaan dalam masa singkat, amalan menyimpan secara konsisten setiap bulan mampu membantu mencapai sasaran ini secara berperingkat.

“Tidak kurang penting, pengguna juga perlu lebih berhati-hati dengan godaan jualan pasca raya yang sering menawarkan diskaun menarik.

“Walaupun kelihatan berbaloi, pembelian tanpa keperluan sebenar boleh menjejaskan usaha pemulihan kewangan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berhemah adalah membezakan antara keperluan dan kehendak sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.

Dalam era digital hari ini, pelbagai aplikasi kewangan boleh dimanfaatkan untuk membantu mengurus perbelanjaan dengan lebih sistematik.

Aplikasi ini membolehkan pengguna menjejak transaksi harian, menetapkan had bajet serta memberi peringatan terhadap komitmen kewangan.

Penggunaan teknologi ini dilihat selari dengan usaha meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat negara ini.

Secara keseluruhannya, tempoh selepas hari raya bukan sekadar masa untuk kembali kepada rutin harian, tetapi juga peluang untuk memperbaiki kedudukan kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top