norhayati_nordin@hmetro.com.my
Menelusuri industri perfileman Malaysia yang memacu perkembangan positif dengan sambutan baik diterima daripada penonton tempatan, membuat pelbagai usaha perlu ditingkatkan dalam menghasilkan naskhah berkualiti.
Apatah lagi menggalakkan tontonan di pawagam termasuk cuba membawa lebih banyak filem Malaysia untuk tayangan luar negara terutama sekitar rantau Asia Tenggara (ASEAN) bagi menembusi pasaran negara jiran.
Malaysia didapati mampu melakukannya, namun beberapa inisiatif harus didukung semua penggiat seni tanah air dan paling penting penggerak industri perlu memahami perundangan dan memberi perhatian serius.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan untuk penggerak industri kreatif memperoleh kefahaman undang-undang lebih jelas maka kerjasama strategik perlu dijalinkan dengan agensi kerajaan berkaitan.
“Inisiatif ini perlu dibuat untuk membantu serta memberi peluang kepada penggiat industri memahami hak dan tanggungjawab mereka terutama dalam aspek kontrak, termasuk perlindungan pekerjaan bagi mengelak penipuan.
“Apatah lagi, kerajaan kini menunjukkan komitmen dalam memperkasa industri perfileman negara dengan mengumumkan pelbagai inisiatif baharu serta jalinan kerjasama strategik.
“Antaranya, penggiat seni yang berdepan cabaran kewangan dibantu dari segi perundangan untuk mendapatkan pembelaan wajar serta mengurang risiko beban demi meningkatkan kesejahteraan.
“Justeru, dengan kolaborasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Jabatan Insolvensi Malaysia dan Jabatan Bantuan Guaman yang dijalin ini, saya yakin sangat membantu penggiat industri kita.
“Umpamanya, menerusi kerjasama itu dapat disediakan khidmat mediasi bagi menyelesaikan pertikaian kontrak bernilai di bawah RM250,000 yang mungkin dihadapi pemain industri serta proses mahkamah juga tidak begitu panjang,” katanya.
Terdahulu, Fahmi hadir pada Majlis Sambutan Hari Seniman 2026 dan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran FINAS di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati, baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.
Tidak hanya itu, Fahmi juga mencadangkan agar kontrak ‘standard’ diperkenal dan diterapkan dalam Skim Pelesenan Perbadanan (SPP), khusus membabitkan syarikat produksi yang menerima dana FINAS.
“Bagi syarikat produksi yang menerima dana FINAS ini disaran perlu mengutamakan kebajikan pekerja terjamin termasuk menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Maka, mana-mana syarikat produksi itu perlu memastikan semua staf, pelakon dan kru yang bekerja dengan mereka mesti mendapat caruman KWSP dan PERKESO dibayar. Kalau culas, tindakan boleh diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi juga menyampaikan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 berjumlah RM275,718 kepada 12 filem tempatan yang sudah ditayangkan di pawagam pada tahun ini.
Penerimanya ialah filem Badak terbitan ACT 2 Pictures Sdn Bhd, Irudhi Strike (SLY Entertainment Sdn Bhd), Penghukum Nusantara Assasin (Terang Film Sdn Bhd), Klepet (Wawa Global Sdn Bhd), Macai dan Blues (Skyzen Sdn Bhd) serta Hero Friend-U (Dove Eyes Entertainment Sdn Bhd).
Turut tersenarai, filem Duyung: Legenda Aurora serta 3 Hajat terbitan KRU Studios Sdn Bhd, 6 Jilake (Primeworks Studios Sdn Bhd) dan Pemuja (Mangkin Prestij Sdn Bhd).
Manakala, simposium diadakan bagi menghargai penggiat industri filem dan televisyen tanah air bersempena Hari Seniman yang disambut secara rasmi pada 22 Mac setiap tahun seiring tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




