‘Pengguna setia’ media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Pernahkah anda terfikir, mengapa anda mempunyai akaun media sosial? Adakah ia satu keperluan atau terikut-ikut dengan kehendak semasa?

Adakah anda bimbang jika tidak mempunyai media sosial, anda akan dipinggirkan dan tidak dapat mengikuti (‘follow’) kongsi (‘share’) atau suka (‘like’) aktiviti kenalan anda?

Walau apa saja jawapan yang diberikan, media sosial semakin mendapat tempat dalam kalangan belia kerana mereka terdedah dengan persekitaran yang kaya media, saluran berkongsi maklumat yang cepat, mudah mencari kenalan baharu dan berfungsi sebagai alat berkomunikasi melalui peranti pintar dilengkapi dengan kemudahan internet.

Ditambah pula apabila media sosial yang dirujuk sebagai aplikasi alaf baharu ini bersifat interaktif, dibekalkan dengan elemen grafik, bunyi dan video menarik.

Selain dapat diakses ke rantaian lain untuk meluaskan pencarian dan perkongsian maklumat. Semuanya menjadi mudah melalui media sosial.

Kelebihan inilah menyebabkan belia semakin aktif melayari media sosial yang mana laporan pangkalan data pada awal tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial.

Tidak syak lagi kebergantungan rakyat Malaysia terutama golongan belia kepada media sosial tidak boleh disangkal.

Namun apakah faktor utama yang menyebabkan belia menjadi ‘pengguna setia’ media sosial ini.

Adakah kerana keperluan atau kehendak? Adakah kedua-duanya membawa pengertian yang sama?

Beberapa pengkaji menyatakan bahawa keperluan adalah kepentingan asas yang diperlukan setiap manusia meliputi keperluan kognitif, perasaan, peribadi, sosial dan keperluan melepaskan perasaan.

Kehendak pula merujuk kepada pelengkap kepada keperluan yang menjadikan hidup kita lebih selesa. Maka, kedua-dua faktor ini saling berkait di antara satu sama lain.

Jika dilihat pada pengertian di atas menunjukkan bahawa media sosial adalah satu kehendak yang dapat memenuhi keperluan belia.

Sebagai insan, belia mempunyai keperluan yang ingin dipenuhi dan perlu diberi perhatian.

Pertama, keperluan kognitif berkaitan dengan keinginan mendapatkan maklumat, pengetahuan dan pemahaman. Melalui media sosial mereka dapat mengetahui maklumat terkini yang berlaku dalam dan luar negara.

Kedua, keperluan perasaan (afektif) membabitkan keperluan mendapatkan hiburan.

Sudah pasti media sosial menawarkan pilihan itu kepada belia. YouTube sebagai contoh media sosial yang membolehkan kita memuat naik dan memuat turun kandungan video, platform untuk menerbitkan filem pendek seperti yang dibuat salah seorang produser terkenal tempatan. Menarik bukan?

Ketiga, keperluan peribadi adalah pembangunan identiti. Melalui media sosial, belia berkongsi kepakaran mereka.

Bagi yang gemar memasak akan menggunakan media sosial untuk hantaran (‘posting’) menu dan jika menarik akan menerima pujian daripada pengguna media sosial yang lain.

Keempat, keperluan sosial membabitkan tindakan membangun dan mengekalkan hubungan sosial individu dengan individu lain.

Pelbagai topik dapat dikongsi dan dibincangkan di dalam media sosial. Sebagai contoh, aplikasi WhatsApp menjadi pilihan yang membolehkan belia berhubung dengan cepat tanpa batasan masa.

Kelima, belia memilih media sosial sebagai tempat melepaskan tekanan perasaan dan keinginan untuk mengubati kesunyian.

Mereka akan berkongsi suka duka kehidupan dengan orang lain. Tetapi awas! Kegagalan kita mengawal emosi akan mengakibatkan timbul kesan negatif bukan saja kepada diri sendiri malah kepada orang lain.

Mungkin akan timbul isu fitnah, menghasut dan lebih menakutkan apabila muncul masalah buli siber.

Hakikatnya, media sosial bukan lagi medium asing kepada belia. Di sinilah tempat mereka mencurah dan berkongsi idea, bakat serta hasil kreativiti.

Tetapi apa yang dikongsi harus mengikut batasan agama dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Kita tidak mahu melahirkan belia yang bijak teknologi tetapi lemah dalam adab dan kesopanan.

 

Sumber – Harian Metro

 

Malay News

Technology Desk