mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badwi) bolehlah datang ke Masjid Negara esok,” kata menantu Perdana Menteri Kelima Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara dari 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.
“Jenazah Tun Abdullah akan dibawa (dari lnstitut Jantung Negara) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur dan pada esok pagi, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara.
“Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah) bolehlah datang ke Masjid Negara,” katanya pada sidang media selepas menuntut jenazah Tun Abdullah di IJN, di sini, malam ini.
Turut hadir anak Allahyarham Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah yang juga isteri Khairy.
Beliau berkata, bagi bukan Muslim, mereka dinasihatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian untuk masuk ke dalam masjid.
“Bagaimanapun, jubah akan disediakan oleh pihak Masjid Negara. Selepas Zohor, akan diadakan solat jenazah bagi Pak Lah.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kebenaran untuk jenazah Pak Lah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara,” katanya.
Menurutnya, Abdullah meninggal dunia dalam keadaan tenang selain semua ahli keluarga turut berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




