JAKARTA – Menteri Penyelaras Bidang Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra mengesahkan siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa kegiatan pengintipan telefon yang membawa kepada penahanan tiga individu berjawatan tinggi tiada kaitan dengan cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
Yusril berkata, kandungan komunikasi yang diintip dan tujuan pengintipan itu dilakukan belum dapat didedahkan kepada umum kerana siasatan masih diteruskan.
Menurutnya, Presiden Prabowo Subianto telah dimaklumkan mengenai kes berkenaan dan mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pemerintah juga akan menilai semula prosedur pengintipan telefon memandangkan terdapat beberapa institusi negara yang diberikan kuasa dan dilengkapi peralatan untuk menjalankan kegiatan tersebut.
“Perbuatan itu merupakan satu jenayah serius sekiranya pengintipan telefon itu melangkaui undang-undang dan peraturan,” ujarnya lagi.
Kenyataan itu dibuat selepas Bekas Ketua Polis Nasional, Listyo Sigit Prabowo bersama dua pegawai kanan polis diberkas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengintipan komunikasi telefon tanpa kebenaran melibatkan Presiden Prabowo Subianto.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bareskrim), Asep Safrudin berkata, aktiviti antara tahun 2025 hingga 2026 dengan memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam Sistem Pengurusan Pemintasan Sah Polis turut menyasarkan pegawai kerajaan, tokoh politik, pengamal media, pemimpin pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan.
“Suspek juga telah memadamkan rekod log bagi menghapuskan bukti kegiatan mereka pada bulan lalu. Kegiatan tersebut terbongkar selepas seorang pegawai yang mengetahui mengenai aktiviti berkenaan membuat laporan kepada Bareskrim,” jelasnya.
Listyo yang berkhidmat sebagai Ketua Polis dari tahun 2021 hingga 2026 telah dilantik sebagai Ketua Turus Presiden pada 1 Oktober. Dua lagi suspek dikenal pasti sebagai Ahrie Sonta dan Eko Hadi Santoso yang kedua-duanya merupakan pegawai kanan polis berpangkat jeneral dua bintang.
Ketiga-tiga suspek telah didakwa mengikut Kanun Keseksaan serta Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik atas kesalahan melakukan pengintipan telefon secara haram, mengakses komputer milik orang lain dan memadamkan maklumat elektronik tanpa kebenaran.
Ketiga-tiga pertuduhan tersebut membawa hukuman maksimum penjara sehingga 24 tahun. Ketiga-tiga suspek kini ditahan di pusat tahanan Ibu Pejabat Polis Nasional di Jakarta Selatan. – Agensi



