Penguatkuasaan mesti selaras dengan prinsip kemanusiaan, keadilan – MCW

Penguatkuasaan mesti selaras dengan prinsip kemanusiaan, keadilan – MCW

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu tindakan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penjaja kecil, khususnya insiden membabitkan penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), kelmarin.

Presidennya Jais Abdul Karim berkata, MCW mengakui bahawa penguatkuasaan undang-undang adalah penting untuk memastikan ketertiban dan keadilan kepada semua pihak termasuk peniaga yang berlesen.

Namun, katanya, pendekatan yang digunakan mestilah selaras dengan prinsip kemanusiaan, keadilan dan kebijaksanaan.

“MCW memahami dilema yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa. Jika tindakan penguatkuasaan tidak diambil, mereka akan dituduh menerima rasuah sebaliknya jika bertindak tegas, mereka dikritik sebagai tidak berhemah.

“Namun, perkara pokok yang harus diperbaiki ialah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) lebih adil berperikemanusiaan. Ini supaya keseimbangan dapat dicapai antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan penambahbaikan SOP penguatkuasaan DBKL termasuk menggunakan pendekatan berhemah dan budaya rundingan.

Jais berkata, penguat kuasa perlu diberikan latihan khas dalam pengurusan konflik, komunikasi efektif dan budi bicara, terutama dalam menangani peniaga kecil yang hanya mencari rezeki secara sederhana.

Menurutnya, tindakan terlalu agresif, kasar dan kekerasan fizikal tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan yang perlu dielakkan sepenuhnya.

“MCW juga menggesa penguatkuasaan yang telus, saksama, konsisten dan adil terhadap semua peniaga tanpa mengira bangsa atau status kewarganegaraan.

“Jangan ada pilih kasih di mana peniaga tempatan ditekan, manakala peniaga warga asing dibiarkan berleluasa tanpa tindakan,” katanya.

Selain itu, katanya, pada masa depan diharapkan DBKL memberikan kelulusan sementara bagi penjaja kecil berniaga semasa Ramadan.

Menurutnya, DBKL boleh mempertimbangkan untuk memberikan kelonggaran sementara kepada penjaja kecil tanpa lesen sepanjang bulan Ramadan, dengan syarat mereka tidak mengganggu lalu lintas dan kebersihan.

Jais berkata, langkah itu akan membantu golongan berpendapatan rendah mencari rezeki secara sah, tanpa perlu berdepan risiko ditindas oleh penguatkuasa.

“Audit dan pemantauan terhadap penguat kuasa juga wajar dilaksanakan secara berkala untuk memastikan integriti penguatkuasaan.

“MCW mencadangkan supaya setiap operasi penguatkuasaan DBKL dipantau melalui rakaman kamera badan (body cam) dan laporan audit berkala.

“Ini dapat mengelakkan salah guna kuasa, penyalahgunaan budi bicara, serta mengelak tuduhan rasuah terhadap anggota penguat kuasa,” katanya.

Amir Abd Hamid, [30/3/2025 11:45 AM]

Sebagai rumusan, katanya, MCW tidak menafikan kepentingan penguatkuasaan undang-undang, tetapi ia harus dilaksanakan dengan lebih bijaksana, beradab, dan tidak menindas golongan marhaen.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memahami sensitiviti masyarakat, terutama dalam musim perayaan, serta bertindak secara profesional agar kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan tidak terhakis.

“MCW bersedia untuk berdialog dengan DBKL dan pihak berkepentingan lain bagi merangka polisi yang lebih adil, telus, dan manusiawi demi kebaikan bersama,” katanya.

Berdasarkan dua rakaman video tular berdurasi lebih tiga minit di media sosial sejak awal pagi kelmarin, berlaku aksi tolak menolak antara pegawai penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka termasuk penjaja belon.

Susulan itu, DBKL dalam kenyataan petang semalam menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil pihak penguat kuasa berkenaan terhadap penjaja belon tanpa lesen di Jalan TAR dan tular di media sosial itu.

Menurut DBKL, penjaja belon terbabit bertindak agresif ketika diberikan teguran kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top