Pengurus perakaunan rugi RM1.36 juta diperdaya pelaburan palsu

Pengurus perakaunan rugi RM1.36 juta diperdaya pelaburan palsu

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pengurus perakaunan sebuah syarikat berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah lebih RM1.36 juta lesap ditipu pelaburan dalam talian menerusi sebuah aplikasi.

Mangsa yang berusia 70 tahun mendakwa tertarik dengan pelaburan berkenaan berikutan menjanjikan pulangan keuntungan antara lapan hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan dalam tempoh dua bulan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, menerusi laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Isnin lalu, mangsa mendakwa tertarik dengan iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pada Disember 2024.

Katanya, mangsa kemudian diminta memuat turun sebuah aplikasi dan mendaftar sebagai ahli sebelum melabur melalui aplikasi berkenaan.

“Mangsa membuat sebanyak 14 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza.

“Dia kemudian menyedari dirinya diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1 juta sebagai komisen kepada pihak aplikasi bagi tujuan pengeluaran keuntungan berjumlah RM11 juta.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hamzah berkata, polis mengingatkan orang ramai bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara atas talian adalah sangat berisiko.

Menurutnya, bagi mengelak diperdaya, semakan boleh dibuat dengan Bank Negara Malaysia di https://www.bnm.gov.my dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (https://www.sc.com.my).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top