am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang pengurus syarikat swasta kerugian lebih RM1.77 juta selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis, 12 Jun lalu yang dibuat seorang lelaki berusia 67 tahun.
Beliau berkata, mangsa mendakwa, pada April lalu, nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp pelaburan saham ‘C-10 Freeman Saham 17’ dan dijanjikan keuntungan berdasarkan harga pasaran saham semasa iaitu antara anggaran lima hingga 10 peratus setiap hari, berdasarkan modal pelaburan.
“Mangsa tertarik dan melakukan 12 transaksi ke lima akaun bank berbeza antara 16 April hingga 30 Mei lalu berjumlah lebih RM1.77 juta.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah diminta untuk membuat bayaran tambahan hampir RM500,000,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi bagi tempoh singkat.
“Semak dengan pihak berkuasa seperti polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat pelaburan seperti itu.
“Boleh juga ikuti laman rasmi Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selain Instagram dan TikTok bagi mengetahui taktik semasa jenayah komersial,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
