Pengurusan 1MDB percaya arahan Jho Low datang daripada Najib – Hakim

Pengurusan 1MDB percaya arahan Jho Low datang daripada Najib – Hakim

Putrajaya: Pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana mereka percaya setiap arahan itu datang daripada Datuk Seri Najib Razak, demikian dapatan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi untuk beranggapan pengurusan tertinggi menimbangkan arahan Jho Low berkaitan urusan 1MDB yang membabitkan jumlah dana yang amat besar (kecuali) jika mereka benar-benar percaya Jho Low bertindak atas arahan tertuduh.

Atau, katanya, mereka melaksanakan apa jua arahan yang diberikan oleh Jho Low dengan kepercayaan tulen bahawa arahan itu sebenarnya datang daripada Najib yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Hakikat bahawa Najib dan Jho Low saling mengenali juga bukanlah suatu kebetulan semata-mata. Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar yang diambil ketika percutian,” katanya

Beliau berkata, saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa e-mel, perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan dan arahan ahli perniagaan dalam buruan itu menjadi sebahagian yang penting dalam aliran kerja operasi 1MDB.

Katanya, ia kemudian membawa kepada berlakunya transaksi utama seperti usaha sama PetroSaudi, pemerolehan tenaga dan pengurusan dana.

Mahkamah kemudian ditangguhkan bagi solat Jumaat dan akan bersambung semula pada 3 petang.

Sebelum itu, Sequerah memaklumkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah jam untuk menyelesaikan pembacaan penghakiman menyeluruh.

Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi. Bagaimanapun, dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top