am@hmetro.com.my
Putrajaya: Penipuan penjualan pakaian dan minyak masak di media sosial dikesan antara kes paling tinggi dilakukan golongan penjenayah siber.
Susulan itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sudah menurunkan 746 kandungan dan iklan palsu dalam talian setakat ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, kandungan berunsur penipuan itu dikesan di beberapa platform termasuk Facebook dan TikTok, dijual melalui akaun peribadi bagi menarik perhatian pengguna.
“Modus operandi sindiket berubah mengikut trend dan musim, termasuk menawarkan harga terlalu murah atau bekalan dalam kuantiti besar tetapi gagal menghantar barangan kepada pembeli.
“Kalau melibatkan penipuan mengiklankan tetapi tidak menghantar barang, ia selalu melibatkan pakaian. Mereka melihat kecenderungan pengguna contohnya menjelang musim perayaan,” katanya pada sidang media sempena pencapaian penguatkuasaan Ops Tiris 2025 sehingga Mac 2026 di sini, semalam.
Azman berkata sindiket didapati akan membuka akaun baharu selepas kandungan atau platform mereka disekat, selain terdapat kes berjaya dikesan sehingga ke lokasi operasi dan stor simpanan barangan tiruan.
Selain itu, Azman berkata lebih 10 syarikat besar yang menawarkan barangan keperluan pengguna dan makanan telah dipanggil memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Langkah itu, menurut beliau diambil bagi memastikan harga barangan kekal pada tahap munasabah dan bertujuan mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan untuk meraih keuntungan berlebihan.
Beliau berkata nama syarikat terlibat tidak dapat didedahkan kerana proses siasatan masih pada peringkat awal dan hanya notis awal dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Apabila terdapat syak berlaku pencatutan, kita akan membuka kertas siasatan dan pada peringkat itu, maklumat boleh didedahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata tahap pematuhan peniaga terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah tinggi, iaitu sekitar 95 peratus dengan kebanyakan kesalahan melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu.
Beliau berkata bagi mengukuhkan pematuhan kendiri dalam kalangan komuniti perniagaan, KPDN turut memperluas pelaksanaan Program PATUH yang menekankan penandaan harga jelas, penggunaan alat timbang dan sukat tepat, transaksi telus serta urus niaga jujur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




