Penipuan pekerjaan: 100 rakyat Malaysia terkandas di India

SHAH ALAM: Lebih 100 orang rakyat Malaysia kini dipercayai ‘terkandas’ di India selepas diperdaya sebuah syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebelum mereka didakwa dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

Mangsa yang berusia antara 19 hingga 30-an itu dipercayai diperangkap menerusi tawaran pekerjaan dalam bidang multimedia dan pemasaran dengan gaji lumayan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di India, mereka didakwa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ de­ngan menyasarkan mangsa di Malaysia.

Lebih membimbangkan, pas­­port mereka dipercayai dipegang sindiket, menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke tanah air.

Mangsa juga mendakwa me­­reka diminta membayar se­­hingga RM20,000 kepada sin­diket sekiranya mahu mendapatkan semula pasport ma­sing-masing.

Perkara itu didedahkan se­orang mangsa, Muhammad Shafiq Bahri Mohd. Saifol Bahri, 31, yang mendakwa ber­jaya melarikan diri daripada sindiket terbabit sebelum mendapatkan bantuan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Ting­gi Malaysia di New Delhi.

“Ketika itu, di lokasi kami bekerja ada masalah bekalan elektrik. Jadi, kami diarahkan keluar dan ketika itu saya nekad melarikan diri dengan menaiki Uber.

“Sebelum tiba di kedutaan, kami tinggal beberapa hari di rumah penduduk tempatan sebelum membuat laporan di balai polis dan kemudian mereka merujuk kami kepada pihak kedutaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Shafiq Bahri berkata, dia bersama dua lagi rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air pada 9 Ogos lalu selepas mendapat bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Bercerita lanjut, dia ditawar­kan pekerjaan di India oleh seorang ejen pekerjaan dari Sarawak namun tidak menge­tahui skop pekerjaan sebenar sehingga tiba di negara ber­kenaan pada Jun lalu dan dibawa ke lokasi penginapan adalah di Noida kira-kira 45 minit perjalanan dari New Delhi.

“Keadaan kehidupan kami di tempat berkenaan amat daif. Makanan yang disediakan setiap hari juga sama, hanya nasi putih dan sedikit sayur tanpa kuah, malah kadangkala makanan yang dihidangkan sudah basi.

“Kami dikerah bekerja tanpa rehat. Walaupun sakit, tetap kena kerja,” katanya.

Shafiq Bahri berkata, dia tertarik dengan tawaran pekerjaan itu kerana tidak memerlukan sebarang kelayakan khusus selain hanya menyediakan pasport dan pakaian.

Menurutnya, segala urusan ter­masuk mendapatkan pasport, pengangkutan dan penginapan sebelum berlepas ke India turut diuruskan pihak yang menawarkan pekerjaan tersebut.

“Kira-kira 15 individu dari Sa­rawak, Johor dan Kuala Lumpur kemudiannya dikumpulkan sebelum dibawa ke la­pangan terbang untuk penerbangan ke India.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi, kami diarahkan bergerak dalam kumpulan kecil ke kaunter khas yang sudah ditetapkan pihak terbabit.

“Seorang lelaki memberi arahan supaya kami bergerak bertiga ke kaunter khas berkenaan kerana mereka sudah membuat bayaran kepada pihak berkuasa di sana,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Atase Imigresen Malaysia di New Delhi, Muhammad Syukran Mat Rofa, ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan Sijil Pe­rakuan Cemas (SPC) atau Emergency Certificate telah dikeluarkan kepada Shafiq Bahri bersama seorang lagi rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air.

“Bantuan diberikan kepada dua rakyat Malaysia ini untuk pulang ke tanah air,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top