Penjara 10 hari, denda RM28,000 gagal lapor rasuah

Kuala Lumpur: Seorang penyelia pembekal kandungan sebuah syarikat telekomunikasi dipenjara 10 hari dan didenda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian suapan berjumlah RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara 10 hari untuk setiap pertuduhan dihadapi Feeras Roslan, 35, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini atau dipenjara sebulan lagi jika tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama hingga ketiga, Feeras didakwa telah diberikan suapan iaitu wang berjumlah RM3,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekal kandungan, Ng Wan Wah melalui pindahan secara dalam talian kerana memberikan maklumat aduan pelanggan terhadap syarikat Eznet Sdn Bhd, Evolving Solutions Sdn Bhd dan Wimi Mobile Sdn Bhd yang merupakan pembekal kandungan kepada syarikat telekomunikasi tersebut dan tertuduh tidak melaporkan kesalahan penyogokan itu kepada SPRM.

Bagi pertuduhan pilihan keempat, tertuduh didakwa telah diberikan suapan iaitu wang tunai RM3,000 daripada Lim Eng Hoong, melalui Ketua Pegawai Operasi Elite Entertainment Sdn Bhd, Lam Wai Khiong, kononnya tertuduh dapat mengurangkan bayaran penalti “Liquidated Ascertained Damages” daripada RM50,000 kepada RM40,000 yang dikenakan ke atas syarikat Elite Entertainment oleh syarikat telekomunikasi tersebut, dan tertuduh tidak melaporkan kesalahan penyogokan itu kepada SPRM.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Gleneagles Ampang dan kawasan tempat letak kereta terbuka bersebelahan Menara Celcom, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, antara Februari 2017 dan Disember 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersetuju untuk menerima RM1,000 setiap bulan daripada pemilik syarikat pembekal kandungan iaitu Ng sebagai balasan untuk Ng mendapatkan maklumat aduan pelanggan terhadap syarikatnya, selain bagi mengetahui maklumat jualan syarikat pembekal kandungan lain.

Hasil siasatan mendapati terdapat transaksi pembayaran RM1,000 yang diterima tertuduh daripada Ng ke dalam akaun miliknya dan dia gagal melaporkan pemberian wang tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Khairul Azwan dan Hanif Nasrullah.