Unisza buka bidaan nombor plat khas kenderaan hari ini – Utusan Digital

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) membuka bidaan nombor plat khas kenderaan, Unisza bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penjualan kesemua 9,999 nombor plat khas itu merupakan salah satu inisiatif Unisza dalam menjana pendapatan universiti.

Katanya, Unisza merupakan antara universiti awam terawal yang mengemukakan permohonan bagi tujuan tersebut.

“Kita turut mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan untuk menggunakan tulisan Unisza sebagaimana reka bentuk sambutan 40 tahun penubuhan universiti ini.

“Cetakan plat kenderaan dengan reka bentuk berkenaan akan dibuat menggunakan teknologi laser oleh Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT),” katanya pada majlis pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UniSZA di pekarangan bangunan Canselori di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pusat Penjanaan Pendapatan, Pelaburan dan Jaringan Industri (P4P) Unisza, Prof. Dr. Ahmad Shukri Yazid.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, sebanyak empat kategori nombor plat kenderaan khas dibuka untuk bidaan iaitu bernilai utama, menarik, popular dan semasa.

Katanya, kumpulan sasaran bagi projek itu ialah dalam kalangan kakitangan, pelajar, orang awam di samping alumni termasuk semasa era Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Universiti Darul Iman (UDM) hingga Unisza.

“Menariknya, mereka yang membeli nombor plat Unisza turut berpeluang memenangi cabutan bertuah dan mendapat diskaun jika membeli kereta dengan syarikat tertentu”, katanya. -UTUSAN ONLINE