'Tidak letakkan syarat khusus jika diminta lakonkan watak Zack'

'Tidak letakkan syarat khusus jika diminta lakonkan watak Zack'

puterialia@hmetro.com.my

PENYANYI muda, Zaki Yamani meluahkan rasa teruja dan bersedia untuk memegang watak utama sebagai Zack dalam naskhah susulan filem ikonik, Azura.

Ia berikutan reaksi positif peminat yang rata-ratanya berharap agar bakat baharu itu diberi kepercayaan membintangi watak berkenaan selepas menjayakan konten video bersama pelakon veteran, Fauziah Ahmad Daud, baru-baru ini.

Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, pintu hatinya sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan jika ada pihak yang mahu mengambilnya berlakon bagi filem berkenaan.

“Kalau ada penerbit di luar sana nak berbincang, saya sentiasa terbuka untuk berlakon dalam filem Azura.

“Sebab saya sendiri memang meminati cerita itu dan saya akan buat apa sahaja untuk jayakan watak Zack,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Zaki turut mengakui timbul rasa gemuruh apabila berpeluang bertemu serta bekerjasama dengan Ogy ketika merakamkan sebuah kandungan video bersama.

“Saya ada tanya dekat ‘aunty’ Ogy boleh ke kalau saya nak buat konten? Dia jawab boleh dan tanya nak buat apa. Saya cakaplah, saya jadi Zack dan ‘aunty’ jadi Azura.

“Kami pun buatlah konten itu bersama-sama. Selepas itu, dia marah-marah. Saya ingatkan dia marah betul-betul dalam video itu. Rupanya dia cuma berlakon sahaja. Pandai dia berlakon, memang betul-betul hebat,” katanya.

Ditanya mengenai siapakah heroin yang mahu digandingkan bersama, Zaki berkata, dia menyerahkan sepenuhnya keputusan berkaitan pemilihan watak heroin kepada pihak penerbit jika projek filem ikonik Azura itu benar-benar menjadi kenyataan.

Menurut Zaki, dia tidak mempunyai sebarang syarat atau kriteria khusus dan terbuka untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon wanita.

“Kalau filem itu betul-betul terjadi, itu bergantung kepada penerbit. Sesiapa sahaja saya okay untuk dijadikan heroin,” kongsinya.

Sementara itu, Zaki menegaskan dia sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab memegang watak Zack yang pernah dijayakan bapanya sendiri, Datuk Jamal Abdillah.

“Saya akan sentiasa ready (bersedia) untuk watak itu,” ujarnya.

Keluarkan lagu baharu untuk filem Tiket Sehala

Zaki baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya berjujud Lekas yang turut digunakan sebagai runut bunyi (OST) bagi filem Tiket Sehala.

Istimewanya, karya berkenaan ditulis oleh Zaki sendiri bersama Bunga dan komposer lagu terbabit ialah Amzar Razqa.

Kongsi Zaki, selain lagu Lekas, dia turut menghasilkan sebuah lagi trek baharu yang lebih rancak bertajuk Fire Burning Crazy yang dinyanyikan bersama Ainee Mustafa bagi OST filem Tiket Sehala.

Bercerita lanjut, Zaki yang membawa watak sebagai Boy dalam filem berkenaan menegaskan kedua-dua karya berkenaan sememangnya difokuskan serta diubah khas secara eksklusif bagi menjayakan projek filem itu.

Selain tumpuan terhadap bidang seni, Zaki turut berkongsi dia kini berada di semester terakhir pengajian dalam bidang Diploma Muzik di Management & Science University (MSU), Shah Alam.

Menurutnya, pengajian yang bermula pada tahun 2024 itu mengambil masa sedikit lewat daripada jadual asal berikutan tindakan menangguhkan pengajian sebelum ini kerana terikat dengan komitmen lakonan.

“Saya sudah berada di semester akhir. Sebelum ini saya dah tangguh pengajian selama sebulan dua, jadi, ia ‘drag’ sikitlah sebab penggambaran filem dan saya ambil diploma jurusan muzik,” kongsinya.

Sama ada impian membintangi filem susulan Azura bakal menjadi kenyataan atau tidak, Zaki membuktikan kesungguhannya untuk terus mencipta dalam industri seni tanah air menerusi bakat nyanyian, ciptaan lagu dan lakonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top