norhayati_nordin@hmetro.com.my
Baru-baru ini, industri hiburan dikejutkan dengan ‘pemergian’ dua insan seni iaitu pemain dram kumpulan rock Meditasi, Allahyarham Raja Azreen Raja Talib, 57, dan pelakon, Allahyarham Lydia Ibtisam, 46.
Dua figura ini daripada segi populariti mungkin ‘biasa-biasa sahaja’ sekadar dikenali, namun menariknya kisah hidup mereka sewajarnya dijadikan iktibar kerana pengakhiran indah daripada Allah.
Melaporkan berita ‘pemergian’ mereka membuatkan saya memahami perkara penting dalam kehidupan antaranya, kita sebagai anak perlu ikhlas berbakti kepada ibu bapa dan penyayang dengan cara sendiri.
Sebagaimana Allahyarham Raja Azreen yang mengikut cerita abangnya, Raja Azman dan rakan baik yang juga vokalis Meditasi, Burn memaklumkan keperibadian mulia arwah apabila sanggup berkorban menjaga ibu tersayang.
Arwah memilih hidup membujang hingga akhir hayat demi menjaga ibu yang melahir dan membesarkan dengan sepenuh kasih sayang, sekali gus kita melihat murninya ‘cinta’ seorang anak.
Dalam kehidupan ini, pasti ramai ibu bapa yang ada impian sekiranya dapat dijaga oleh anak-anak apabila sudah berusia, namun semua itu rezeki. Perancangan Allah tiada siapa yang tahu.
Apa-apa pun kisah arwah Raja Azreen ini mengingatkan saya pada hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA apabila seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak disantuni dengan baik? Baginda menjawab: ‘Ibumu’ dan ditanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa?” masih dijawab: ‘Ibumu’ dan terus ditanya: “Kemudian siapa?”, tetap jawapannya, ‘Ibumu’ serta pertanyaan kali keempat, baru dijawab: ‘bapamu’.”
Ternyata, ibu diutamakan tiga kali ganda dalam hal berbakti, kasih sayang dan khidmat yang menjadi pengorbanan besar seorang anak dan arwah Raja Azreen sudah berjaya melakukannya.
Ada sedikit rasa cemburu dan saya tidak menafikan. Namun, meskipun sudah ‘kehilangan’ ibu bapa, tetapi bakti kita sebagai anak masih boleh diteruskan dengan doa dan amal jariah yang tidak putus.
Bagaimanapun, bapa juga tetap diletakkan di tempat yang tinggi dan wajib ditaati selepas ibu. Justeru, sama ada ibu dan bapa, kedua-duanya adalah insan yang sangat bermakna dalam hidup kita.
Mengenai arwah Lydia Ibtisam, memang sudah lama tidak mendengar cerita dirinya sejak menyepi daripada radar industri selepas dia berumah tangga dan berkeluarga.
Namun, drama Impian Illyana dibintangi Lydia yang disiarkan TV3 pada 2004 hingga kini tidak dilupakan. Begitu juga pembabitannya dalam bidang nyanyian dengan menyanyikan lagu tema drama itu.
Namun begitu, keperibadian arwah Lydia yang menarik dikongsikan mereka mengenalinya adalah sikap baik yang tidak bercerita tentang orang lain, ramah, merendah diri dan penyayang dengan cara sendiri.
Tidak hanya itu, arwah yang menghidap penyakit autoimun selama lapan tahun tidak menguar-uarkan keadaan kesihatannya dan terus berjuang bersama suami, anak-anak serta keluarga.
Cuma, keprihatinan sahabat baiknya yang juga pelakon dan penyanyi, Elliza Razak membuatkan Lydia diingati semula walaupun dalam tempoh singkat sekitar beberapa hari sebelum dia ‘pergi’ buat selamanya.
Berbicara mengenai Lydia yang dikenali rakan artis pernah berlakon dengannya, arwah memang sangat baik, happy go lucky, tidak sombong dan melayani semua orang dengan ramah.
Bagi Zoey Rahman yang membintangi Impian Illyana bersama Lydia untuk drama pertama sebagai pelakon, dia mengaku dilayan baik walaupun ketika itu tiada pengalaman berlakon dan bukan ‘hero’.
“Allahyarham Lydia adalah watak utama dan saya pula masih baru jadi pelakon. Memang gementar juga dan macam-macam rasa ada, tetapi dia (Lydia) tetap melayani saya dengan baik.
“Saya juga tengok, tidak kisah itu pelakon ekstra ke, pembantu atau hero, Lydia ramah kepada semua orang dan kami mendapat layanan sama rata. Jadi, saya yang takut dan gementar pun, rasa tenang.
“Aura positif dibawa arwah Lydia tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Jadi, masa dapat tahu arwah menghidap penyakit autoimun, saya sangat terkejut sebab dia sentiasa nampak sihat,” katanya.
Guru bahasa Inggeris arwah Lydia dikenali sebagai Mariah Ibrahim juga menyifatkan anak didiknya itu seorang yang suka menyenangkan hati orang lain dan sangat berahsia soal peribadi.
Justeru, bila diamati semula kisah Lydia ini ada baik juga disimpan sedikit ‘rahsia diri’ daripada terlalu terbuka membuat perkongsian terutama di media sosial yang kini berpengaruh besar dalam kehidupan seharian.
Hingga ada kalanya sekarang dilihat perlu ‘tular’ semua cerita supaya diketahui ramai. Bahkan, apa yang dilihat kebanyakan perkongsian dibuat itu lebih menjurus kepada luahan peribadi.
Apa pun, dalam hal perkongsian ini ada baik dan buruknya yang bergantung kepada niat. Jadi, sebelum hendak membuat perkongsian di media sosial, wajar untuk kita teliti niat hati.
Umpama kata pelakon dan usahawan, Adam Corrie, apa-apa sahaja yang kita hendak tulis di media sosial kena sentiasa berlandaskan niat yang betul dan insya-Allah akan dilindungi.
Jadi, fikir dulu banyak kali apa yang hendak ditulis dan bila sudah habis tulis, usah terus muat naik. Perlu dibaca betul-betul semula sehingga rasa puas, sebab terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




