am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun di sekitar bandar raya ini, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek ditahan di perkarangan Balai Polis Pelangi Indah semalam selepas mangsa membuat laporan polis pada hari sama.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 25 Januari lalu di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan kediaman mangsa di Johor Bahru.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Raub berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman.
Katanya, mahkamah membenarkan suspek ditahan reman sehingga Selasa depan (21 April) bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




