am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan meliwat anak perempuan kandungnya berusia empat tahun, bulan lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia empat tahun.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16 itu iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan seks luar tabii dengan mangsa sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di rumah di sebuah taman perumahan di Nibong Tebal antara jam 5.30 hingga 6.30 petang, Mei lalu.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa masih tinggal bersama dengan tertuduh selain risiko kejadian sama berulang.
Mahkamah menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan perubatan serta lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




