nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepas dan membebaskan penjual buah daripada dua pertuduhan memiliki senjata api serta peluru tanpa lesen sah pada Mac tahun lalu.
Hakim Zulkifli Abllah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Haziman Hikamarhakimi, 38.
“Oleh itu, kuasa yang ada pada saya, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan gagal menunjukkan senjata yang dirampas berada dalam milikan dan kawalan tertuduh selain terdapat percanggahan keterangan antara saksi utama, iaitu pegawai penyiasat dan pegawai tangkapan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Haziman didakwa memiliki dua senjata api iaitu pistol Beretta Patented Gardone VT buatan Itali dan revolver .357 Magnum Cartridge Colt’s PT FA MFG CO Hartford Conn USA bernombor siri V16140 di sebuah rumah di Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu pada 11 malam, 12 Mac 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37].
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyimpan pelbagai jenis peluru tanpa lesen sah di lokasi sama termasuk 24 butir 9MM Luger A USA, 9 butir 9MM Luger NRC, 5 butir 9MM Thai Arms, 18 butir .357 Mag Ap, 1 butir .357 Mag A USA dan 1 butir 9MM Luger PMC pada tarikh dan lokasi yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
© New Straits Times Press (M) Bhd




