WASHINGTON: Semua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 mulai September, berikutan peningkatan kes jangkitan membabitkan varian Delta, menurut Pentagon semalam.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dalam satu memo berkata, beliau akan meminta Presiden Joe Biden meluluskan pemberian vaksin itu untuk lima minggu akan datang walaupun pada masa ini, belum ada vaksin yang mendapat persetujuan penuh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS.
Namun, katanya, tempahan untuk vaksin Pfizer boleh dibuat lebih awal walaupun belum mendapat kelulusan.
Pegawai memaklumkan vaksin Pfizer dijangka mendapatkan kelulusan FDA pada awal bulan depan.
Memandangkan pemberian vaksin COVID-19 dilaksanakan di bawah pelan darurat, tentera AS masih tidak diwajibkan anggotanya mengambil vaksin itu.
Tindakan mewajibkan pengambilan vaksin itu hanya ‘membuka pintu’ untuk di cabar di mahkamah, kecuali Biden meluluskan pengecualian membenarkannya.
Sekiranya Pfizer atau vaksin lain tidak mendapat persetujuan FDA sepenuhnya pada pertengahan September ini, Austin menyatakan beliau akan terus mendesak mendapatkan persetujuan Biden.
Biden sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang ‘kuat’ bagi menyokong keputusan itu.
“Vaksin ini menyelamatkan nyawa. Apabila divaksin, membolehkan anggota tentera terus berkhidmat dalam keadaan yang sihat, melindungi keluarga mereka dengan lebih baik, dan memastikan pasukan kita bersiap sedia beroperasi di mana saja di dunia,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Pertahanan, John Kirby berkata, Pentagon berharap dapat menyimpan ratusan ribu dos yang diperlukan dan bahawa setiap perkhidmatan sedang mempersiapkan rancangan untuk mewajibkan vaksinasi.
Pada masa ini, 73 peratus daripada 1.4 juta pasukan petugas barisan hadapan di negara itu sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Angka yang rendah itu membimbangkan pegawai AS, terhadap kemungkinan virus itu boleh mengganggu kesiapsiagaan anggota tenteranya.
Dalam memo yang sama, Austin berkata, sebelum arahan mewajibkan vaksinasi dikeluarkan, anggota tentera akan mengawasi kadar jangkitan COVID-19 yang kini meningkat disebabkan oleh varian Delta, sekali gus mungkin menjejaskan tahap kesiapsiagaan anggota tenteranya.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih awal atau mengesyorkan pendekatan yang berbeza kepada Presiden sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya. – AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




