BENTONG: Penubuhan koridor pembangunan Pahang Barat Plus disifatkan sebagai pemangkin strategik yang bakal melonjakkan kedudukan daerah Bentong secara optimum sebagai Gerbang Utama Pantai Timur.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, pendekatan itu menterjemahkan komitmen berterusan kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memastikan keadilan pengagihan ekonomi di seluruh negeri.
Menurutnya, kedudukan geografi Bentong yang bersempadan secara langsung dengan Lembah Klang menjadikannya pintu masuk utama yang paling bersedia untuk menerima limpahan pelaburan dan kemajuan pesat hasil daripada inisiatif khas tersebut.
Memuatkan artikel berkaitan…
“UMNO Bahagian Bentong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyambut baik penubuhan Pahang Barat Plus yang dilihat mampu merapatkan jurang pembangunan antara wilayah demi manfaat 1.67 juta rakyat Pahang.
“Bentong memegang peranan yang amat signifikan. Sebagai pintu masuk utama dari pusat ekonomi negara ke Pantai Timur, kita berada pada posisi terbaik untuk memanfaatkan setiap perancangan pembangunan, perindustrian, dan keterhubungan infrastruktur yang dirangka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Zaini mengulas kenyataan Wan Rosdy pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menegaskan kerajaan negeri berhasrat mewujudkan pembangunan seimbang antara Pahang Barat, Timur, dan Pahang Tengah.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, menerusi tumpuan khusus Pahang Barat Plus, pelbagai sektor teras di Bentong seperti pelancongan tanah tinggi, eko-pelancongan, dan pertanian moden termasuk industri durian Musang King akan menerima dorongan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Jelas beliau, pemantapan rangkaian perhubungan jalan raya serta logistik di bawah koridor baharu itu bukan sahaja merancakkan rantaian bekalan perdagangan rentas negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda tempatan.
“Hasrat Menteri Besar menerusi Pahang Barat Plus ini bukan sekadar tentang pertumbuhan angka ekonomi semata-mata, tetapi komitmen memakmurkan rakyat berasaskan nilai Kesejahteraan menyeluruh dan mampan.
“Justeru, UMNO Bentong memberi jaminan dan ikrar komitmen penuh untuk mendokong serta bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan sasaran Pahang Barat Plus merealisasikan Bentong sebagai Gerbang Pantai Timur yang gilang-gemilang,” katanya. – UTUSAN




