Sanggup berhabis RM400k

Sanggup berhabis RM400k

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tak fikir hanya kerana bergelar artis, kena duduk (tinggal) rumah kondominium atau banglo.

“Biarlah orang nak cakap apa pun kerana yang penting, saya selesa dengan kehidupan saya,” kata penyanyi, Aiman Tino, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Aiman Yusri ketika berkongsi kisahnya sanggup membeli ‘rumah busuk’ sebagai kediaman pertama untuk didiami bersama isteri, Che Syarah Haifa Che Isa, 27.

Bercerita lanjut, Aiman berkata, rumah teres setingkat di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu dibeli secara terus dengan pemilik asal dengan harga RM200,000.

Menurutnya, keadaan dalam dan luar rumah tiga bilik tidur itu agak teruk kerana banyak kerosakan perlu dibaiki.

Dia nekad membelinya, malah sanggup membelanjakan RM200,000 bagi mengubah suai kediaman yang sudah lima tahun terbiar.

“Sebelum beli rumah, saya ada tinjau beberapa rumah lain jenis teres dan kondominium.

“Awal tahun lalu, rezeki saya apabila pemilik beritahu ayah yang dia nak jual rumahnya. Kebetulan harganya dalam bajet saya.

“Saya nekad nak beli kerana jika terlepas, memang rugi kerana mana nak dapat lagi rumah dengan harga begitu,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat mengubah suai kediaman seperti hotel lima bintang, Aiman sanggup melabur wang hasil perniagaan dan pendapatan untuk mengubah suai rumah berkenaan.

“Waktu mula jejak kaki ke rumah, saya dapati dindingnya sudah berlekuk manakala pintu bilik serta pagar depan dan belakang perlu diganti dengan yang baharu.

“Apa boleh saya katakan, memang tak cantik waktu itu dan kena keluar belanja besar untuk baiki.

“Disebabkan itu, banyak duit hasil berniaga dan persembahan nyanyian dilabur untuk rumah,” katanya.

Aiman berkata, proses ubah suai dan mencantikkan rumah mengambil tempoh masa lama dan selain wang, ia juga menuntut kesabaran.

“Tapi saya bersyukur rumah saya akan siap diubah suai bulan ini dan boleh didiami tidak lama lagi.

“Feel (perasaan) mencantikkan ‘rumah busuk’ ini agak lain berbanding jika beli kediaman baharu yang sememangnya cantik.

“Rancangan asalnya nak jadikan rumah itu inap desa, tapi saya ubah fikiran dan nekad tinggal di situ nanti kerana sudah sayang serta takut ada kerosakan angkara penyewa tak bertanggungjawab,” katanya.

Setakat ini, Aiman berkata, rata-rata individu terdekat, peminat dan warganet memberi kata semangat di ruangan komen selepas menonton video dikongsikan di media sosial.

“Tak ada yang perlekehkan pun, malah mereka teruja nak tengok hasil transformasi rumah saya selepas siap diubah suai.

“Cuma orang tak biasa akan fikir rumah itu seram, malah isteri pun awalnya tak setuju bila ajakpindah ke situ kerana membesar di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Tapi dia akhirnya ‘okey’ dan setuju selepas diterangkan kerana faham niat saya nak mulakan hidup saya di Kuala Kubu Bharu serta membesarkan anak kami di situ,” katanya.

Sejarah silam rumah ‘jauhkan’ pembeli

Kuala Lumpur: Sejarah negatif membabitkan sesebuah rumah termasuk kematian, pembunuhan atau kisah seram boleh menjejaskan kebolehpasaran hartanah apabila ia menimbulkan stigma dan mengurangkan bilangan pembeli yang berminat.

Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, kesannya tidak sama bagi setiap hartanah kerana bergantung kepada jenis kejadian, lokasi, keadaan fizikal serta persepsi masyarakat.

“Rumah dengan sejarah negatif dalam keadaan tertentu boleh mempunyai kumpulan bakal pembeli lebih kecil berikutan pembeli mungkin keberatan dengan sejarah hartanah terbabit.

“Kesannya tempoh pemasaran boleh menjadi lebih panjang walaupun lokasi dan keadaan rumah sebenarnya baik,” katanya.

Mengulas mengenai harga, Muhammad Azwan berkata, tiada kadar tetap boleh digunakan bagi menentukan penurunan harga rumah hanya berdasarkan sejarah negatif.

“Sebarang potongan harga perlu dilihat berdasarkan bukti transaksi hartanah sebanding dan reaksi sebenar pasaran, bukannya ditetapkan hanya berdasarkan andaian atau cerita hartanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tiga faktor utama yang boleh mempengaruhi kejatuhan harga ialah jenis dan tahap serius kejadian, tahap publisiti serta kekuatan stigma dalam kalangan masyarakat setempat.

“Tempoh masa penting kerana kejadian yang berlaku bertahun-tahun dahulu tidak semestinya ada kesan sama jika ia sudah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat.

“Media sosial boleh memanjangkan tempoh kewujudan stigma kerana sesuatu cerita boleh terus dikongsi, dicari dan muncul semula walaupun kejadian telah lama berlaku.

“Ini menyebabkan persepsi negatif terhadap sesuatu rumah atau alamat menjadi lebih sukar untuk hilang,” katanya.

Menurutnya, stigma terhadap sesebuah hartanah tidak semestinya kekal dalam jangka panjang kerana ia boleh berkurangan apabila masa berlalu, generasi pembeli berubah dan perhatian masyarakat beralih kepada perkara lain.

“Namun jika sesuatu kes terus mendapat perhatian media sosial atau melibatkan kejadian yang serius, kesannya boleh bertahan lebih lama,” katanya.

Sementara itu, katanya, rumah yang lama kosong atau terbengkalai pula berdepan dua isu utama iaitu kemerosotan keadaan fizikal dan persepsi negatif.

“Kerosakan, penyelenggaraan tertangguh, keselamatan, vandalisme serta persekitaran yang tidak terurus boleh mengurangkan daya tarikan dan meningkatkan kos pemulihan sekali gus menjejaskan permintaan,” katanya.

Beliau berkata, faktor lain yang boleh menyebabkan rumah terbengkalai sukar dijual termasuk tempoh terbiar, kos baik pulih, masalah perundangan atau pemilikan serta persepsi pembeli.

“Jika ada masalah berkaitan pemaju, hak milik atau dokumentasi yang belum selesai, faktor tersebut boleh menjadi lebih besar daripada keadaan fizikal rumah itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, rumah terbengkalai yang turut mempunyai sejarah kematian, pembunuhan atau kisah seram pula berpotensi berdepan kesan lebih ketara kerana wujud dua lapisan negatif iaitu risiko fizikal akibat lama terbiar dan stigma psikologi akibat sejarah hartanah.

“Dalam keadaan ini, pemilik mungkin berdepan tentangan pembeli yang lebih tinggi dan tempoh pemasaran yang lebih panjang,” katanya.

Muhammad Azwan berkata, pemilik perlu memberi tumpuan kepada usaha memulihkan keadaan rumah bagi meningkatkan semula daya tarikannya kepada pembeli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top