am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Demi memenuhi permintaan peminat, Icon Entertainment menambah hari ketiga untuk Konsert GenKRU pada 10 Mei depan.
Menurut pengasasnya, Iman Tang, keputusan itu dibuat selepas banyak pertanyaan dan permintaan daripada peminat yang tidak berpuas hati gara-gara jualan tiket laku keras dalam tempoh 45 minit semasa pengumuman hari kedua konsert sebelum ini.
Kata Iman, keputusan itu dibuat dengan persetujuan anggota KRU iaitu Norman, Edry dan Yusry yang sepakat untuk memenuhi hajat peminat tegar yang terlepas mendapatkan tiket pada konsert hari pertama dan kedua yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei nanti.
“Kami tidak menyangka sambutan sangat luar biasa dengan pertanyaan yang tidak pernah putus di media sosial.
“Ia sekali gus membuatkan Icon Entertainment dan Kru mahu menunaikan impian peminat yang tewas ‘berperang’ untuk membeli tiket.
“Dengan pertimbangan dan cukup berhati-hati selain persetujuan daripada Kru,10 Mei dipilih sebagai tarikh sesuai bagi penganjuran konsert hari ketiga iaitu selang seminggu selepas malam pertama dan kedua,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman khas yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengenai penambahan hari ketiga lagi, kata Iman, keputusan ini bukan bersifat oportunis sebaliknya membuktikan pemuzik tempatan turut mempunyai pengaruh dan kuasa besar terhadap pasaran.
“Keputusan ini menjadikan konsert GenKRU tiga hari juga melakar sejarah baharu yang wajar dibanggakan bintang tempatan apabila kebanyakkannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.
“Konsert berskala mega untuk tiga malam ini adalah satu penghormatan buat artis tempatan kita,”katanya.
Kali terakhir, KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry beraksi di pentas mega adalah di pentas berprestij Istana Budaya pada 2018 yang juga berlangsung selama tiga hari.
Pada mulanya, Icon Entertainment sebagai penganjur hanya merancang untuk merealisasikan konsert GenKRU cuma untuk satu malam.
Namun, apabila tiket untuk konsert di Axiata Arena Bukit Jalil itu habis dijual dalam tempoh sejam, pihaknya menambah lagi satu persembahan pada keesokan harinya.
Sekali lagi, tiket untuk jualan malam kedua di lokasi sama laku keras dalam tempoh 45 minit sekali gus mendorong penganjur untuk menambah persembahan pada malam ketiga.
Penganjuran Konsert GenKRU bakal menyaksikan kemunculan KRU di pentas selepas enam tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




