mhafis@mediaprima.com.my
Sungai Buloh: Penunggang basikal warga Bangladesh maut selepas dilanggar tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran BRP 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan diterima pada 7.55 malam membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah motosikal dan sebuah basikal.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun mengayuh basikal untuk melintas jalan, namun dilanggar MPV yang datang dari arah Bukit Rahman Putra.
“Selepas perlanggaran pertama, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar motosikal dan MPV lain, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa ke Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222.
“Polis menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

