
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mencatatkan prestasi berdaya tahan bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, sekali gus memperkukuh keupayaannya menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat.
Prestasi itu turut memperteguh keterjaminan tenaga negara serta memacu agenda peralihan tenaga Malaysia dalam persekitaran tenaga global yang dinamik.
Dalam berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global, peningkatan permintaan elektrik dan keperluan peralihan tenaga yang terus berkembang, TNB kekal memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi.
Usaha itu disokong pengurusan kewangan yang berdisiplin serta pelaksanaan strategik model perniagaan bersepadu syarikat.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, daya tahan berkenaan membolehkan syarikat terus melabur dalam ekosistem tenaga Malaysia, selain memberi nilai kepada para pemegang taruh.
“Prestasi Separuh Pertama 2026 ini membolehkan kami untuk terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan hanya membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuhkan keterjaminan tenaga negara, mempercepatkan peralihan tenaga serta memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” katanya.
Bekalan elektrik terjamin untuk rakyat

Harga bahan api global terus mempengaruhi kos penjanaan elektrik sepanjang Separuh Pertama 2026, sekali gus menyebabkan pelarasan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diperkenalkan Kerajaan.
AFA mencerminkan perubahan dalam kos sebenar bahan api dan dilaksanakan menerusi mekanisme yang diluluskan Kerajaan bagi memastikan ketelusan dalam mengurus turun naik kos bahan api.
Sejak AFA diperkenalkan pada Julai 2025 sehingga April tahun ini, pengguna elektrik menerima rebat berjumlah RM3.1 bilion.
Susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sejak Mei 2026 bagi mengurangkan impak kepada pengguna.
Walaupun harga bahan api dipengaruhi situasi pasaran global, TNB terus memberi tumpuan kepada aspek yang berada dalam kawalannya melalui peningkatan kecekapan operasi, pengoptimuman prestasi penjanaan dan usaha mengekalkan kebolehpercayaan bekalan.
Sepanjang Separuh Pertama 2026, TNB melabur RM5.6 bilion dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bekalan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, memastikan keterjaminan bekalan dan mempercepatkan peralihan tenaga.
Menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi grid pintar, automasi rangkaian dan penyelenggaraan ramalan, TNB turut memantapkan keupayaannya memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta mempertingkatkan pengurusan gangguan bekalan.
Usaha itu penting khususnya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.
Pelaburan berkenaan turut menunjukkan hasil apabila Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 23.45 minit.
Pacu sistem tenaga masa hadapan

TNB terus mempercepatkan pelaburan strategik bagi memperkukuh ekosistem tenaga negara dan mempersiapkan Malaysia menghadapi pertumbuhan permintaan elektrik pada masa hadapan.
Pertumbuhan itu dijangka dipacu oleh elektrifikasi industri, industri berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan pusat data.
Antara pencapaian utama TNB sepanjang tempoh berkenaan ialah pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Terengganu.
Kemudahan itu diiktiraf sebagai BESS tersambung grid dengan teknologi grid-forming yang pertama di Malaysia.
TNB turut menjalinkan kerjasama dengan Petronas Gas Berhad bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak, yang akan meningkatkan daya tahan bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang serta menyokong penjanaan elektrik yang boleh dipercayai.
Dalam usaha mempercepatkan peralihan tenaga, TNB turut menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 delegasi dari lebih 60 negara.
Persidangan itu menghasilkan 15 kerjasama strategik meliputi tenaga boleh baharu, pembangunan grid dan kesalinghubungan serantau.
Selain itu, TNB melancarkan Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA) bagi membangunkan bakat masa hadapan serta memperkukuh kerjasama antara industri, ahli akademik dan penggubal dasar dalam merealisasikan penyelesaian peralihan tenaga yang praktikal.
RM109 juta untuk komuniti

Selain membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, TNB terus membina nilai berterusan untuk komuniti dan alam sekitar.
Menerusi My Brighter Green Initiative 2026, TNB memperkukuh komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar dengan menanam 40,000 anak pokok hutan dan bakau di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Inisiatif berkenaan menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan penglibatan komuniti, selain menyokong agenda kelestarian alam sekitar Malaysia.
Pada masa sama, TNB memperluaskan usaha pemerkasaan komuniti menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat dengan RM109 juta diperuntukkan sepanjang tempoh 1H 2026.
Daripada jumlah itu, RM71.1 juta disalurkan bagi Sokongan Pendidikan menerusi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memanfaatkan 7,550 pelajar serta memperkukuh pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.
Sebanyak RM5.4 juta pula diperuntukkan untuk Pembangunan Sukan yang memanfaatkan 42,420 atlet dan peminat sukan, termasuk menerusi program hoki kebangsaan.
Bagi Program Bersama Sekolah, sebanyak RM7.1 juta diperuntukkan merangkumi beberapa inisiatif termasuk Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid dan 50 sekolah.
Sementara itu, RM16.3 juta disalurkan bagi Program Komuniti dan Sokongan, termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.
Sebanyak RM0.4 juta pula diperuntukkan bagi Pemerkasaan Komuniti Melalui Elektrifikasi, termasuk pemasangan sistem solar, pencahayaan LED dan pendawaian semula yang memberi manfaat kepada 3,600 orang.
Selain itu, sejumlah RM8.7 juta zakat wakalah disalurkan kepada lebih 50,000 penerima asnaf.
Prestasi Mampan 1H 2026

Prestasi operasi TNB yang berdaya tahan turut diterjemahkan menerusi kedudukan kewangan yang sihat.
Keadaan itu membolehkan syarikat meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal di samping memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Bagi Separuh Pertama 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2.0 bilion, disokong peningkatan jualan elektrik yang sebahagian besarnya disumbangkan sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi.
Prestasi stabil itu membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.
Pembayaran dividen berjumlah RM1.5 bilion itu akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1 peratus disalurkan kepada syarikat-syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan.
Ia termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.
“Justeru, manfaat ini dipulangkan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai di samping menyumbang kembali kepada negara,” kata Shamsul.
Daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur.
Pelaburan itu menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Kekal teguh berkhidmat untuk rakyat

Melangkah ke hadapan, permintaan elektrik dijangka kekal pada trajektori pertumbuhan yang stabil, disokong perkembangan sektor perindustrian, digitalisasi, bangunan pintar, mobiliti elektrik serta peningkatan pelaburan dalam industri berasaskan AI dan pusat data.
Di sebalik permintaan yang terus berkembang, TNB kekal dengan tanggungjawab utamanya menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, terjamin dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia.
“TNB komited untuk memberikan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi lebih penting kepada rakyat, dengan memastikan peralihan tenaga memperkukuhkan ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang baharu dan mempertingkat kualiti hidup generasi akan datang,” kata Shamsul.