Penunggang maut dirempuh lori selepas terbabas

Penunggang maut dirempuh lori selepas terbabas

KLANG: Seorang penunggang maut selepas dirempuh lori apabila motosikalnya terbabas dekat Jalan Meru Tambahan, Meru, di sini, hari ini ketika dalam perjalanan ke Puncak Alam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun itu gagal mengawal motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditungganginya sehingga melanggar pembahagi jalan berdekatan Jalan Nenas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kemudian mangsa tercampak ke laluan bertentangan sehingga terkena bahagian tepi sebuah lori.

“Lori terbabit dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan di laluan berkenaan. Keadaan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa ketika itu dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini boleh tampil ke kehadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860,” ujarnya.

Terdahulu tular dalam media sosial rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis yang memaparkan situasi kemalangan motosikal terbabit dekat Jalan Meru Tambahan, pagi tadi. – UTUSAN

Scroll to Top