Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar jip

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar jip

IPOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah jip di Jalan Tambun, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu mangsa yang berusia 25 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, ketika kejadian, jip yang dipandu lelaki warga emas berusia 77 tahun dengan seorang penumpang dari arah Kampung Baru Tambun manakala mangsa dipercayai datang dari arah Tanjung Rambutan menuju ke Ipoh.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa gagal mengelak sebuah jip yang keluar dari simpang dan melanggar bahagian kanan kenderaan tersebut.

“Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini mendapati punca kematian adalah kecederaan di bahagian dada akibat kemalangan jalan raya.

“Justeru, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,“ jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-372 8477 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top