norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suami kepada pelakon Lydia Ibtisam, Ezam Merican memohon doa ramai buat isterinya yang kini masih berada dalam keadaan kritikal di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Ezam yang juga bapa kepada dua cahaya berkata, Lydia, 46, menghidap penyakit autoimun yang sudah menyerang buah pinggang termasuk ada virus dalam perut, paru-paru dan darah.
“Lydia sakit teruk. Masalah autoimun yang serang buah pinggang serta ada virus dalam perut, paru-paru dan darah. Dia kritikal.
“Tolong hadiahkan doa dekat dia. Lapan tahun sudah ‘control’ (kawal sakit autoimun) dengan makan ubat. Tapi, lama-lama jadi lain pula sebab autoimun itu semakin agresif,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.
Sementara itu, penyanyi Elliza Razak yang juga rakan baik Lydia berkata, pelakon drama Impian Illyana itu difahamkan menjalani pembedahan kerana penyakit autoimun berkenaan pada Isnin lalu.
“Apa yang saya tahu, Lydia dimasukkan ke pusat perubatan di ibu kota pada Isnin lalu kerana masalah kesihatannya dan menjalani pembedahan disebabkan jangkitan kuman.
“Bagaimanapun, keadaan dia kini masih kritikal walaupun saya diberitahu oleh suaminya, Ezam yang tekanan darah Lydia dalam keadaan stabil.
“Apa pun, saya mohon doakan Lydia dan semoga segala urusannya dipermudahkan. Minta tolong doakan juga kekuatan semangat buat keluarga dan anak-anaknya dalam menghadapi ujian besar ini,” katanya.
Menurut Elliza, dia berharap semua pihak dapat menghormati perasaan anggota keluarga Lydia yang kini memang memerlukan sokongan dan doa ramai agar Lydia diberikan keajaiban buat kesembuhan.
Terdahulu, Elliza yang juga bekas peserta program realiti, Akademi Fantasi musim ketiga (AF3) membuat perkongsian mengenai kesihatan terkini Lydia pada hantaran di Instagram (IG) dan Instagram Story (IGs), semalam.
Menerusi hantaran itu, Elliza berkongsi perasaan sebaknya melihat Ezam dan anak-anak Lydia dalam keadaan pilu serta sedih mengenangkan keadaan kesihatan insan kesayangan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




