rnoraina@hmetro.com.my
Subang: Penunggang motosikal maut digilis lori kontena dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 2.8 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat USJ di sini, semalam.
Lelaki berusia 40 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima laporan kejadian 7.30 malam.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Nmax, kenderaan elektronik (EV), kenderaan Toyota Innova dan lori kontena.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian motosikal ditunggang mangsa di lorong tengah dari arah USJ menghala ke Plaza Tol Puchong Barat terbabit kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Bezza yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran.
“Kemalangan itu mengakibatkan motosikal hilang kawalan dan bergesel dengan dua kenderaan lain yang berada di lorong kiri.
“Mangsa terjatuh di lorong tengah sebelum digilis lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta pemandu kereta Perodua Bezza untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk membantu siasatan.
Beliau turut meminta saksi kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




