Penunggang motosikal terbabas dikesan miliki dadah

Penunggang motosikal terbabas dikesan miliki dadah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan penunggang motosikal melarikan diri selepas ternampak anggota peronda lebuh raya (EMPV) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sini, semalam, membongkarkan penemuan dadah yang disimpan dalam poket seluarnya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pada jam 9.40 malam, anggota EMPV membuat rondaan dan penyuraian trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Menurutnya, semasa berada di stesen minyak Hentian Nilai arah selatan, anggota terlihat penunggang Honda EX-5 cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun lelaki terbabit terbabas dan anggota polis kemudian membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan ke atas tubuh suspek menjumpai bekas warna hitam yang dikeluarkan dari poket seluar jeansnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman berkata, pemeriksaan mendapati bekas itu mengandungi aluminium foil, RM10 yang digulung dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki heroin.

“Peronda jalankan tangkapan dan rampasan terhadap suspek kerana memiliki dadah sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

“JSPT akan terus memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap polis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd