am@hmetro.com.my
Nilai: Dua penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dipilih menjadi imam solat Tarawih di Osaka, Jepun sepanjang Ramadan ini.
Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam, 23, dan Nik Ahmad Nik Aziz, 25, pelajar Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian berlepas ke Jepun semalam untuk menjadi imam jemputan di dua tempat secara penggiliran iaitu di Pusat Dakwah Jepun dan Pusat Islam Osaka.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, pihaknya bangga kerana penuntut USIM dipilih untuk mengetuai solat Tarawih di Jepun.
“Saya berharap kedua-dua pelajar ini dapat manfaatkan sebaik mungkin peluang terbabit untuk mengutip ilmu dan pengalaman sepanjang berada di Jepun.
“Mereka akan berada di Osaka selama 40 hari dan dijangka kembali ke Malaysia pada 20 April 2024 untuk menghabiskan Latihan Industri di Pusat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Ahmad mengakui teruja dan menyifatkan ia peluang terbaik untuknya memperaktikkan segala ilmu bagi kepentingan umat Islam di Jepun.
“Rasa teruja dan berbesar hati untuk mencabar diri sendiri di negara luar dan semestinya keluar dari zon selesa.
“Semoga saya diberi kesihatan oleh Allah dan dapat berkhidmat serta berbakti untuk Islam di Osaka, Jepun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




