Penyampai berita dipecat kerana cawan kopi

Penyampai berita dipecat kerana cawan kopi

ISTANBUL: Seorang penyampai berita Turkiye dipecat selepas muncul dalam siaran berita secara langsung dengan cawan kopi Starbucks di atas mejanya.

Menurut Metro.uk,  penyampai stesen TGRT Haber, Meltem Gunay dilihat menyampaikan berita pada malam sambutan Krismas dengan cawan dari franchais kopi terkenal itu jelas kelihatan di hadapannya.

Penonton mengkritik penyampai tersebut kerana tindakan itu, mendakwa dia menyokong Starbucks yang kini diboikot oleh aktivis pro-Palestin kerana jenama itu didakwa menyokong kerajaan Israel.

Beberapa jam kemudian, TGRT mengumumkan sudah menamatkan perkhidmatan Gunay serta pengarah segmen berita tersebut kerana ‘mengiklankan secara rahsia’ syarikat itu, yang dilarang sama sekali dalam prinsip penyiaran.

“Selaras dengan prinsip institusi kami, juruhebah dilarang sama sekali membentangkan di TGRT News TV dengan cara yang secara rahsia akan mengiklankan mana-mana syarikat.

“Pembaca berita dan pengarah yang bertindak bertentangan dengan prinsip ini sudah diberhentikan kerana alasan yang adil.

“Institusi kami mempunyai kefahaman yang mengetahui sensitiviti rakyat Turkiye mengenai Gaza dan mempertahankan mereka hingga ke akhirnya. Adalah mustahil untuk meluluskan sebarang tindakan atau penerbitan yang bertentangan dengannya,” kata stesen itu dalam satu kenyataan.

Aktivis pro-Palestin memboikot Starbucks selepas rangkaian kopi itu bertindak menyaman kesatuan sekerjanya, Starbucks Workers United berikutan mesej organisasi buruh itu di media sosial yang menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.