Penyelewengan dana sukuk lebuh raya: SPRM akan panggil Tan Sri sekali lagi Khamis ini

Penyelewengan dana sukuk lebuh raya: SPRM akan panggil Tan Sri sekali lagi Khamis ini

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri akan dipanggil sekali lagi Khamis ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat akan mengambil keterangan di kediamannya di ibu negara.

“Saya difahamkan ia akan dilakukan pada sekitar jam 9 pagi,” katanya di sini hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak RM141 juta aset dalam negara disita dan RM15 juta aset luar negara dikesan oleh SPRM membabitkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.

Azam dilaporkan berkata, pecahan disita itu membabitkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta dan barangan kemas serta berlian RM10 juta.

Menurutnya, barangan lain yang disita adalah tas tangan mewah RM6 juta, jongkong, patung emas dan syiling emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta dan empat ekor kuda bernilai RM400,000.

Bagaimanapun aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah RM15 juta sedang di dalam proses pengesanan oleh pihak SPRM.

“Selain itu antara penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan minuman beralkohol dan aktiviti perjudian RM25 juta. Nilai keseluruhan aset dan transaksi yang dikesan dalam penyalahgunaan dana sukuk ini berjumlah RM156 juta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top