Penyertaan HGHV pacu ekonomi, perluas penglibatan Bumiputera

Penyertaan HGHV pacu ekonomi, perluas penglibatan Bumiputera

SHAH ALAM – Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam menentukan hala tuju ekonominya, ketika usaha keluar daripada perangkap pendapatan sederhana menjadi semakin mendesak demi memastikan generasi akan datang menikmati status negara berpendapatan tinggi.

Dalam konteks itu, peralihan daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta teknologi bernilai tinggi mampu menjadi langkah tepat, khususnya menerusi penyertaan dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti pembuatan maju dan ekonomi hijau.

Pendekatan ini bukan sahaja mampu menjana pekerjaan bergaji tinggi, malah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Melihat senario berkenaan, pemangkin utama kepada peralihan tersebut disokong oleh peranan modal institusi seperti Dana Impak oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta dasar inklusif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Memecah had pertumbuhan syarikat tempatan

Dalam usaha melonjakkan keupayaan ekonomi, syarikat tempatan perlu diperkasa agar mampu berdaya saing di peringkat serantau dan global, sekali gus melahirkan lebih banyak juara tempatan.

Dana Impak berperanan sebagai pemangkin penting dalam membantu syarikat peringkat pertengahan Malaysia (MTC) menembusi had pertumbuhan sedia ada, selain membuka peluang kepada mereka untuk menyertai rantaian bekalan serantau.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, matlamat utama adalah untuk membina sebuah negara yang bukan sahaja menggunakan teknologi, bahkan mencipta nilai baharu.

“Khazanah melabur dengan tujuan yang jelas, iaitu untuk memperkukuh ekonomi Malaysia agar lebih berdaya tahan dan berdaya saing. Kami memberi tumpuan kepada sektor masa depan yang mampu mencipta nilai tinggi, bukan sahaja untuk menjana pulangan, tetapi untuk membina industri, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat keupayaan syarikat tempatan ke peringkat seterusnya,” kata beliau kepada Sinar Harian.

AMIRUL FEISAL

AMIRUL FEISAL

Beliau menjelaskan, Dana Impak telah memperkukuh peranannya dalam menyokong MTC melalui pendekatan dua hala membabitkan pembangunan kapasiti dan peluasan akses kepada pertumbuhan modal menerusi strategi pembiayaan serta ekuiti swasta.

Menurutnya, ia berperanan sebagai pemangkin dan penghubung yang mengenal pasti jurang pasaran, menyediakan modal bagi bidang yang kurang mendapat perhatian pasaran serta melabur dalam bakat tempatan.

Selain itu, Khazanah turut berusaha menarik penyertaan pelabur swasta berdasarkan pendekatan crowding in yang menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan mampan.

“Melalui strategi Memajukan Malaysia, tumpuan kami adalah untuk memperkasa MTC bagi memacu daya saing dan meningkatkan kompleksiti ekonomi negara, agar lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” ujarnya.

Dalam masa sama, pertumbuhan ekonomi yang mampan memerlukan pendekatan inklusif bagi memastikan manfaatnya dapat dikongsi secara meluas.

Antara pendekatan lain yang diambil adalah menerusi program KYouth yang dilaksanakan oleh Khazanah.

Pada 2025, usaha ini diperkukuh melalui peluasan program yang melibatkan latihan dalam industri strategik seperti semikonduktor, penerbangan, digital dan teknologi.

Sepanjang tahun tersebut, seramai 9,934 belia telah dilatih melalui kerjasama dengan 18 rakan program, dengan 76 peratus terdiri daripada golongan B40 dan 79 peratus Bumiputera, sebagai sebahagian daripada usaha membina bakat tempatan yang bersedia untuk ekonomi masa depan.

PuTERA35 perkasa ekonomi Bumiputera

Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri HGHV.

Pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara; memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan menegakkan keadilan sosial.

Ia menjadi antara pelan hala tuju baharu untuk memperkasa penyertaan Bumiputera dalam sektor moden termasuk teknologi dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pelan 11 tahun ini diperincikan menerap tiga matlamat utama iaitu membangunkan Bumiputera bercirikan dinamik dan futuristik yang mampu depani isu serta cabaran semasa; menetapkan sasaran lebih jelas dalam tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi dan bangunkan kaedah pemantauan lebih cekap menerusi pihak bertanggungjawab dalam setiap peringkat penguatkuasaan.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, turut diperincikan terdapat 12 pemacu dan 132 ikhtiar telah digariskan untuk mencapai kemajuan dalam struktur sosioekonomi kalangan Bumiputera.

Perlu peralihan untuk kekal relevan

Presiden Bumiputera Retailers Organisation (BRO), Datuk Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar berpandangan, peralihan ke HGHV seperti teknologi, ekonomi digital dan ekonomi hijau bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak bagi memastikan usahawan Bumiputera kekal relevan dalam landskap ekonomi baharu.

Beliau berkata, selaras kerangka Ekonomi Madani dan PuTERA35, tumpuan kini bukan sekadar kepada penyertaan, tetapi juga pemilikan serta penguasaan sektor ekonomi bernilai tinggi.

SYED NAQIZ SHAHABUDDIN

SYED NAQIZ SHAHABUDDIN

Malah menurutnya, sektor peruncitan Bumiputera menunjukkan tahap kesediaan, khususnya dalam kalangan usahawan generasi baharu yang lebih terbuka kepada penggunaan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang.

“Namun realitinya, sebahagian besar pemain masih tertumpu kepada aktiviti bernilai tambah rendah dan model tradisional yang bergantung kepada margin kecil serta persaingan harga,” katanya.

Syed Naqiz menjelaskan, pemain tempatan kini berdepan tekanan persaingan sengit daripada platform e-dagang, rangkaian runcit asing serta pengeluar global yang mempunyai kelebihan dari segi skala, teknologi dan rantaian bekalan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan transformasi ke arah penggunaan teknologi, automasi, penjenamaan dan penguasaan data menjadi semakin kritikal supaya usahawan Bumiputera mampu menjadi pencipta nilai dan bukan sekadar pengguna pasaran.

Dalam masa sama beliau berpandangan, inisiatif bertujuan jelas seperti Dana Impak yang disertai dengan pembangunan kapasiti, akses pasaran serta bimbingan strategik berupaya melahirkan syarikat Bumiputera yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan global.

“PuTERA35 turut mengenal pasti beberapa sektor strategik berpotensi tinggi termasuk teknologi digital, peralihan tenaga, industri halal, pelancongan, logistik serta perkhidmatan profesional berteraskan kewangan Islam.

“Ini menunjukkan kerajaan sedar bahawa masa depan ekonomi Bumiputera perlu bergerak ke arah sektor yang lebih bernilai tinggi dan berasaskan inovasi.

“Apa yang penting ialah kita tidak boleh lagi bergerak secara defensif. Usahawan Bumiputera perlu bersedia melakukan anjakan besar daripada model tradisional kepada model ekonomi masa hadapan yang lebih berteknologi, lestari dan bernilai tinggi selaras aspirasi Ekonomi Madani dan PuTERA35 untuk melahirkan Bumiputera lebih dinamik, futuristik serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Dalam konteks ini, inisiatif seperti Dana Impak berperanan sebagai pemangkin dalam memperkukuh keupayaan syarikat tempatan termasuk Bumiputera, manakala kerjasama dengan dana ekuiti dan kredit swasta membantu mempercepat pertumbuhan serta meningkatkan daya saing di pasaran yang lebih luas.

 

 

 

Scroll to Top